Pemimpin ASEAN Sepakat Terima Pakai Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Pendidikan Tinggi 2045

Pemimpin ASEAN Sepakat Terima Pakai Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Pendidikan Tinggi 2045

Kesepakatan negara-negara ASEAN dalam membentuk lanskap baharu pendidikan tinggi serantau dizahirkan melalui penerimaan rasmi Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pendidikan Tinggi 2045 dalam Sidang Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN 2025 petang tadi.

Deklarasi ini merupakan dokumen hala tuju serantau yang baharu menggantikan Deklarasi Kuala Lumpur 2015 dan digubal dengan menekankan prinsip keterangkuman, kemampanan dan kemakmuran bersama menjelang dua dekad akan datang.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyifatkan penerimaan deklarasi tersebut sebagai satu titik tolak penting dalam kesepakatan ASEAN memperkukuh mobiliti akademia, jaringan institusi, pembangunan bakat dan keterhubungan dasar dalam kalangan negara anggota.

“Apa yang kita capai pada hari ini akan menjadi asas penting kepada hala tuju pendidikan tinggi ASEAN untuk dua (2) dekad akan datang dan kita berharap segala dapatan ini dapat diterima pakai dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN pada Oktober nanti,” ujar beliau dalam sidang media selepas mesyuarat.

Antara inisiatif utama yang dicadangkan Malaysia dan diterima baik oleh negara anggota ialah pelaksanaan Graduate Pass bagi memudahkan mobiliti akademia serta penubuhan ASEAN-GEMS, iaitu platform biasiswa serantau yang menggabungkan dana negara anggota untuk menyokong pertukaran pelajar dan pensyarah.

Mesyuarat turut bersetuju membangunkan Pelan Tindakan dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi ASEAN, yang akan diselaras oleh Sekretariat ASEAN di Jakarta dan dipandu oleh Jawatankuasa Pemandu ASEAN yang dianggotai wakil setiap negara bagi melaksanakan kerangka strategik ini.

Satu lagi fokus penting ialah usaha mewujudkan sistem pengiktirafan kelayakan secara bersama yang akan membolehkan graduan ASEAN beroperasi secara profesional merentasi sempadan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing bakat serantau.

Sebagai pelengkap kepada inisiatif digital dan keterbukaan ilmu, Malaysia turut melancarkan portal GlobalASEAN.org yang dibangunkan bersama IKMAS-UKM, ERIA dan TalentCorp sebagai hab pengetahuan serantau untuk dokumen dasar, latihan dalam talian, kelayakan mikro dan rujukan penyelidikan.

Dalam menyokong pengukuhan dimensi akademik ASEAN, Malaysia turut mencadangkan penubuhan ASEAN Institute sebagai pusat rujukan dan penyelidikan serantau dalam bidang pengajian ASEAN, dengan UKM melalui IKMAS dicadang sebagai institusi peneraju.

Dapatan dan persetujuan daripada sidang meja bulat ini akan dibawa ke Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin ASEAN pada Oktober 2025 sebagai dokumen strategik untuk diperakukan di peringkat ketua negara, menjadikan Langkawi sebagai titik permulaan penting dalam penyusunan semula ekosistem pendidikan tinggi ASEAN. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 188
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 15 Julai 2025, 07:22:36.

logo-sirim