Pemerkasaan Sinergi Antara KPT Dan Kerajaan Negeri Sabah Perkukuhkan Bidang Pendidikan Tinggi Negara

Pemerkasaan Sinergi Antara KPT Dan Kerajaan Negeri Sabah Perkukuhkan Bidang Pendidikan Tinggi Negara

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Pendidikan dan Exco Agama Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif, serta delegasinya pada pagi ini bagi membincangkan mengenai pemerkasaan sinergi di antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.

Pelbagai aspek dibincangkan dalam kunjungan ini termasuklah perkembangan kecerdasan buatan (AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kursus-kursus yang memenuhi kehendak industri di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi memastikan kebolehpasaran graduan.

Turut dibincangkan juga ialah inisiatif-inisiatif untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar Sabah di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) terutamanya berkenaan bantuan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui KPT dan agensi-agensinya.

Selain itu, perbincangan turut dilanjutkan kepada inisiatif rentas kementerian untuk memudahcara urusan dan meningkatkan usaha penghantaran pelajar Sabah ke universiti di Timur Tengah dalam bidang agama dan profesional.

Harapan agar kunjungan hormat ini dapat memberi manfaat kepada penyediaan modal insan negara yang kompeten dan terkehadapan khususnya dalam kalangan anak-anak Sabah.

Turut hadir, delegasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dan agensi-agensi di bawahnya iaitu Timbalan Yang di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah, YBhg. Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, YBhg. Datuk Jumain Abdul Ghani, dan Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah, Tuan Ramlan Awang Ali. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 962
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 06 Februari 2025, 10:09:29.

logo-sirim