Pameran eDOLA Digital Fair 2025, Tarik Minat Orang Awam Sertai TVET POLYCC

Buat julung-julung kalinya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menganjurkan pameran POLYCC eDOLA Digital Fair 2025 kepada orang awam selama dua (2) hari di pusat beli belah Setia City.
Bermula semalam, pameran terbuka dan interaktif yang dipaparkan oleh setiap reruai menampilkan pelbagai inovasi digital dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), merangkumi kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), simulator penerbangan, robotik, permainan e-Sukan serta demonstrasi pembelajaran berasaskan teknologi oleh warga Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).
Berucap ketika merasmikan Majlis Penutupan POLYCC eDOLA Digital Fair 2025 siang tadi, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim menyatakan komitmen Kementerian untuk memposisikan POLYCC sebagai pemangkin pendigitalan pendidikan tinggi negara melalui penyediaan bakat TVET dan pembangunan infrastruktur digital.
“AI dan pendigitalan kini bukan lagi pilihan tetapi keperluan. POLYCC perlu terus bergerak ke hadapan bukan hanya sebagai penerima teknologi tetapi sebagai peneraju dalam pembangunan bakat dan inovasi digital negara,” ujar beliau.
Pada majlis yang sama, beliau turut merasmikan pelancaran ILHAM@CeLT (Innovative Learning Hub for Advancing Method), sebuah inisiatif Politeknik METrO Kuala Lumpur sebagai pusat pembangunan bahan pengajaran digital berasaskan teknologi masa hadapan.
Acara ini turut memperlihatkan kejayaan penganjuran POLYCC–AWS League of Large Language Model (LLM) Bootcamp, iaitu pertandingan pembangunan model AI generatif dengan kerjasama Amazon Web Services (AWS), menjadikan POLYCC sebagai agensi pertama di Malaysia menganjurkan inisiatif tersebut.
Sebagai pengiktirafan, AWS telah menganugerahkan 5,000 lencana digital kepada POLYCC selaku Rakan Latihan Rasmi, memperkukuh kedudukan institusi tersebut dalam membina kapasiti kemahiran digital yang selari dengan keperluan industri.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengerusi POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zainah Rujihan; serta pengarah-pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh negara.
Penganjuran eDOLA Digital Fair 2025 turut menyokong aspirasi Dasar Pendigitalan Negara dan Pelan Transformasi Pendidikan Tinggi, selaras dengan matlamat Malaysia MADANI untuk melahirkan bakat masa hadapan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing dalam era digital.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 549