Nota Kerjasama KPT Dan MINDEF: Lonjakkan Pendidikan, Kemahiran Dan Kebajikan Warga ATM

Kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) secara rasmi dimeterai dalam Majlis Menandatangani Nota Kerjasama (NoC) yang berlangsung di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM tengah hari tadi.
Majlis bersejarah ini disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin serta barisan pegawai kanan kedua-dua kementerian.
YB Menteri Pendidikan Tinggi menegaskan komitmen KPT untuk terus memacu pembelajaran sepanjang hayat (PSH) melalui inisiatif seperti 'Work-Based Learning (WBL) 2.0' yang menyediakan laluan fleksibel untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan taraf pendidikan mereka.
Inisiatif ini bertujuan memperkasakan kompetensi dan kebolehpasaran anggota ATM menjelang persaraan, dengan pengiktirafan pengalaman kerja mereka kepada akreditasi akademik.
Selain itu, kerjasama ini membuka peluang pendidikan kepada ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) serta anak-anak warga ATM melalui Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme).
Program ini bertujuan merakyatkan inovasi dan penyelidikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) demi pembangunan komuniti.
Projek-projek seperti pertanian hidroponik sifar karbon di Johor telah menjadi contoh awal kejayaan program ini.
Di samping itu, Program Kolaborasi Industri (ICP) yang termeterai dalam kerjasama ini melibatkan KPT dan sektor pertahanan untuk mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar. Aktiviti penyelidikan bersama ini diharap dapat memperkukuhkan keupayaan teknologi tempatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, menegaskan bahawa pendidikan adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kolaborasi kementerian dan agensi berkaitan.
Nota Kerjasama ini adalah permulaan kepada usaha bersepadu untuk memperkukuh pendidikan fleksibel, meningkatkan kualiti modal insan, dan membawa manfaat jangka panjang kepada negara.
Kolaborasi ini selaras dengan aspirasi kerajaan MADANI, yang tidak hanya berfungsi sebagai platform strategik tetapi juga langkah maju untuk memperkasakan pendidikan dan pertahanan negara demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 330