NEXUS 2023 Wahana Hasil Inovasi UTM Ke Pasaran Global

NEXUS 2023 Wahana Hasil Inovasi UTM Ke Pasaran Global

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal menyempurnakan pelancaran NEXUS Expo 2023 (NEXPO 2023) anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di ibu negara pagi tadi.

NEXPO 2023 yang merupakan sebuah pameran berlangsung selama dua (2) hari bermula semalam yang memaparkan pelbagai program penyelidikan dan akademik UTM terkini untuk dipersembahkan kepada komuniti merangkumi pemain industri dan orang ramai.

Dalam ucapannya, YB Dato' Haji Mohammad Yusof berkata, "NEXPO 2023 ini dianjurkan bertepatan dengan waktu dan senario terkini negara dan dunia dalam mendepani cabaran semasa, khasnya teknologi disruptif, keterjaminan makanan dan perubahan iklim dan amat menyokong aspirasi 4P (Penyediaan Bakat; Penyelidikan dan Inovasi; Pemindahan dan Perkongsian Ilmu; serta Pengantarabangsaan) yang telah diperkenalkan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi."

Menurutnya lagi, "program ini menjadi wahana strategik yang dapat menyatukan pelbagai pemegang taruh, termasuk masyarakat awam, untuk menyaksikan penyelidikan dan inovasi yang dibangunkan oleh (hasil) kerjasama masyarakat".

Di kesempatan itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada UTM yang diberi tanggungjawab membangunkan pusat pendidikan kecerdasan buatan (AI) pertama negara, iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu.

Pada majlis yang sama, beliau turut meluncurkan dua (2) naskhah karya YBhg. Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim iaitu ‘Leading Transformations and Turnarounds in Academia’ serta ‘Himpunan 40 Hadis Nilai Murni’

Beliau turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dalam menjayakan program CEO@Faculty sebagai ketekalan memantapkan lagi jaringan akademia-industri.

Beliau berharap agar program ini bakal memberikan impak dan seterusnya mentransformasi taraf hidup masyarakat ke arah kehidupan berkualiti, sekali gus mengangkat jenama produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh penyelidik tempatan kepada pemain industri ke peringkat global.

Hadir sama Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), YBrs. Prof. Dr. Rosli Md Illias selaku Penaung NEXUS 2023 serta barisan pengurusan tertinggi universiti yang lain.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 894
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 24 Februari 2024, 09:25:25.