MQAIC 2024, Bincang Mantapkan Kualiti Pendidikan Tinggi Global

Komitmen berterusan Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di peringkat global diperteguhkan lagi menerusi penganjuran Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia 2024 (MQAIC 2024) yang berlangsung bermula tiga (3) hari bermula pagi tadi.
Bertemakan 'Kualiti Global Pendidikan Tinggi', penganjuran MQAIC2024 akan memberi tumpuan kepada isu-isu semasa dalam bidang pendidikan tinggi serta strategi memperkukuh standard kelayakan akademik bagi memastikan graduan tempatan mampu bersaing di peringkat global.
Persidangan yang dihadiri lebih 300 peserta daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negara ini menekankan kepentingan transformasi pendidikan tinggi dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan era digitalisasi.
Persidangan ini juga akan membincangkan peranan institusi pendidikan tinggi untuk perlu responsif terhadap perubahan teknologi serta tuntutan industri bagi melahirkan graduan yang relevan dan kompetitif.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jalinan kerjasama antarabangsa, majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan tiga agensi kelayakan luar negara telah diadakan.
MoU ini dimeterai bersama agensi dari Ireland (QQI), Afrika Selatan (SAQA) dan Gambia (NAQAA), bertujuan memperkasa jaminan kualiti serta pengiktirafan kelayakan akademik merentas sempadan.
Inisiatif ini dijangka membuka peluang lebih luas kepada institusi pendidikan tinggi tempatan untuk meningkatkan mobiliti pelajar dan pensyarah, serta menggalakkan kerjasama penyelidikan antarabangsa.
Majlis perasmian MQAIC 2024 pagi tadi telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Eksekutif MQA, Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie; Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 729