Misi ‘Thinking Athlete’ KPT Sasar Lahir Atlet IPT Berprestasi Dan Profesional

Misi ‘Thinking Athlete’ KPT Sasar Lahir Atlet IPT Berprestasi Dan Profesional

Pendapat yang mengatakan menara gading bukanlah tempat untuk para atlet boleh disangkal apabila statistik terkini menunjukkan bilangan mereka (atlet Institusi Pendidikan Tinggi) yang mewakili negara adalah lebih besar berbanding atlet sepenuh masa.

Melalui misi ‘Thinking Athlete’, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mensasarkan para atlet IPT bukan sahaja mampu meningkatkan prestasi dan pencapaian sukan negara, malah dapat membentuk sikap profesionalisme yang boleh dicontohi semua.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2023 di sini malam tadi.

Beliau menzahirkan rasa kagum atas kesungguhan para atlet IPT yang mampu membahagikan komitmen mereka antara menghadiri kelas, menyiapkan tugasan, latihan sukan dan juga menyertai kejohanan.

Selain itu, usaha yang digembleng UiTM dalam menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi luar bagi mendapatkan tajaan serta merangka program pembangunan turut dipuji dengan ramai warganya telah berjaya mengharumkan nama negara di persada sukan tempatan juga antarabangsa.

Pada majlis yang sama, YB Timbalan Menteri turut menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dengan Persekutuan Lawn Bowls Malaysia serta Persatuan Kriket Malaysia.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Ros; Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin; dan Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dato’ Dr. Pekan Ramli. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1513
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim