Mesyuarat JTPK KPT Bilangan 6/2025 Tumpu Pemantauan Projek Pembangunan IPT

Mesyuarat JTPK KPT Bilangan 6/2025 Tumpu Pemantauan Projek Pembangunan IPT

Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) Bilangan 6 Tahun 2025 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah berlangsung hari ini di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim dan diurussetiakan oleh Bahagian Pembangunan KPT ini merupakan mesyuarat bulanan yang berperanan sebagai mekanisme pemantauan pelaksanaan projek dan program pembangunan serta prestasi perbelanjaan di bawah peruntukan Pembangunan (DE) KPT.

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah perincian projek dan program pembangunan yang telah diluluskan di bawah inisiatif belanjawan penyelenggaraan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi tahun 2025.

Turut ditekankan ialah keperluan bagi setiap Bahagian, Jabatan dan Agensi untuk memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

Mesyuarat turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Mohamad Azhan bin Md. Amir; Timbalan Naib Canselor USIM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh; wakil Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), serta agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Seusai mesyuarat, Datuk Dr. KSU turut melawat tapak projek pembinaan Kompleks Fakulti Pergigian Fasa 1 di USIM yang kini sedang dalam pelaksanaan. Projek bernilai RM83 juta itu dilaksanakan oleh JKR Malaysia dan dijangka siap pada tahun 2026.

Kompleks Fakulti tersebut akan menempatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran seperti bilik kuliah serta makmal bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) klinikal dalam bidang pergigian. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 131
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 17 Julai 2025, 09:59:31.

logo-sirim