KPT Pastikan Kurikulum Komunikasi Dan Kewartawanan Sentiasa Relevan Dengan Perkembangan Semasa

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memastikan kurikulum komunikasi dan kewartawanan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa termasuklah elemen AI, analitik data, undang-undang siber dan etika profesyen.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Kementerian komited untuk melahirkan wartawan berilmu dan berintegriti kerana ia mempersiapkan dunia kewartawanan menjadi profesyen mulia yang dipercayai rakyat.
“Pendidikan tinggi mempunyai peranan strategik dalam memartabatkan kewartawanan beretika.
Universiti dan kolej harus melahirkan graduan kewartawanan yang bukan sahaja cekap menulis berita tetapi kritis berfikir, tinggi etika dan faham falsafah di sebalik tugas wartawan,” jelas beliau dalam ucapan perasmian sempena Majlis Malam Wartawan Malaysia dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2024.
Tambah YB Menteri, wartawan bertanggungjawab untuk memberikan liputan yang inklusif dan berimbang di samping memastikan suara minoriti tidak tersisih serta fakta tidak dimanipulasi.
YB Menteri turut melancarkan e-Jurnal Kewartawanan terbitan Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang bertujuan memperkasakan penulisan berasaskan kajian dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi, khususnya dalam kalangan pengamal media tanah air.
Majlis berprestij dihadiri hampir 1,000 tetamu termasuk tokoh wartawan, pengarang kanan, pengamal media serta rakan strategik dari seluruh negara.
Sebanyak 23 kategori dipertandingkan dengan penyertaan sebanyak 549 diterima daripada 58 organisasi media seluruh negara.
Pemenang hadiah utama iaitu Hadiah Kajai dimenangi oleh Harian Metro yang mendedahkan sisi gelap rumah kebajikan melalui tajuk ‘Rumah Penyeksaan’.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pemenang.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 159