Mega Karnival UniSZA 2024 Eratkan IPT Dan Komuniti
Usai di UMT, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud singgah ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi menyempurnakan Mega Karnival Universiti UniSZA 2024 (MKU 2024) di sini petang tadi.
MKU 2024 yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula semalam di pekarangan Masjid UniSZA tersebut memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hasil penyelidikan, produk inovasi dan aktiviti mahasiswa UniSZA, sambil menjadi medan kepada para usahawan mempamerkan produk dan perniagaan mereka.
"Penganjuran MKU 2024 ini mempunyai misi serampang dua mata iaitu merakyatkan pendidikan tinggi agar sampai kepada masyarakat serta mengeratkan silaturahim warga UniSZA, KPT dan rakyat setempat," kata beliau.
Malah, karnival ini turut diharap dapat mewujudkan kesedaran dan memugar persefahaman antara warga UniSZA dan komuniti setempat yang bercirikan harmoni, nilai hormat dan kasih sayang, beradab serta cintakan ilmu.
Mengulangi pesanan YB Menteri Pendidikan Tinggi bahawa warga KPT menggalas bebanan tanggungjawab berat terhadap masyarakat, beliau menyatakan yang tanggungjawab bersama itu harus dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan menerusi gerak kerja berpasukan dengan prinsip 3 K iaitu “kolaborasi”, “koordinasi” dan “kerjasama”.
Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan kenderaan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), 'Buggy Car' yang telah dibina hasil kepakaran Fakulti Rekabentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT) UniSZA yang diketuai oleh Dr. Rodianah Alias.
Projek kenderaan yang dibangunkan dengan peruntukan universiti sebanyak RM50,000 tersebut akan digunakan bagi memudahkan staf dan pelajar golongan dari OKU bergerak di dalam kampus UniSZA.
Seterusnya, YB Datuk Ts. Mustapha yang telah disambut oleh Naib Canselor UniSZA, Dato' Prof. Dr. Fadzli Adam serta pengurusan tertinggi turut dibawa melawat ke sekitar reruai MKU 2024.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 837