MAPPA 19, YAB Perdana Menteri Umum Era Baharu Perkhidmatan Awam Negara
Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim pagi tadi telah menyempurnakan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19 (MAPPA XIX) yang turut dihadiri oleh hampir 10 ribu penjawat awam daripada pelbagai skim perkhidmatan.
Ketua Setiausaha Negara, Dato' Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato' Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abd. Aziz turut hadir mengiringi YAB Perdana Menteri.
Bertemakan “Perkhidmatan Awam MADANI”, MAPPA XIX ini telah dijadikan pentas oleh YAB Perdana Menteri menyampaikan amanat beliau untuk mereformasikan sektor perkhidmatan awam ke arah lebih produktif, berintegriti, dan optimum.
Terlebih dahulu, beliau menzahirkan penghargaan serta pengiktirafan kepada sumbangan juga jasa para penjawat awam sebagai tonggak dalam memacu pelaksanaan dasar Kerajaan dengan berkesan.
Justeru, pengumuman oleh YAB Perdana Menteri pagi tadi telah turut menandakan peredaran masuk perkhidmatan awam ke era baharu yang lebih progresif, menyeluruh dan efektif.
Agenda reformasi ini akan memfokuskan kepada pemerkasaan penghayatan MADANI dalam kalangan penjawat awam menerusi modul latihan yang inklusif dan menyeluruh; melaksanakan reformasi sektor awam merangkumi anjakan tugas (job rotation), rasionalisasi perjawatan, pertindihan fungsi, semakan peraturan dan keistimewaan yang lapuk, pengoptimuman sumber dan kos; serta melaksanakan sinergi strategik awam dan swasta menerusi penglibatan secara bersama Badan Berkanun, GLC, GIC, CLBG dan syarikat swasta.
Pada masa yang sama beliau telah turut mengumumkan pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggantikan Saraan Malaysia (SSM) berkuatkuasa 1 Disember 2024 nanti.
"SSPA ini mengandungi roh dan semangat Reformasi Perkhidmatan Awam (Civil Service Reform) yang dikehendaki bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI.
"Terdapat tiga ikhtiar bagi mencapai maksud ini iaitu meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan dan meningkatkan daya saing negara," ujar beliau.
SSPA yang dirangka bukanlah semata-mata hanya pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati oleh penjawat awam, namun, ia adalah satu sistem saraan yang berteraskan prestasi.
Jelasnya, pengenalan SSPA ini selaras dengan hasrat Kerajaan dalam memastikan peningkatan produktiviti perkhidmatan awam dan gus menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 900