Malaysia–UNU Rintis Peluang Kerjasama Masa Hadapan Dalam Pendidikan Tinggi Global

Malaysia–UNU Rintis Peluang Kerjasama Masa Hadapan Dalam Pendidikan Tinggi Global

11 Jun 2026 I Putrajaya

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Under-Secretary-General of the United Nations dan Rector of United Nations University (UNU), Profesor Tshilidzi Marwala pada pagi ini.

Pertemuan tersebut menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai landskap pendidikan tinggi global serta meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat yang mampu memberi manfaat bersama.

Turut dibincangkan ialah potensi memperkukuh kerjasama dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), transformasi digital, pembangunan mampan, tadbir urus global, kesihatan global (global health), serta pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi melalui jaringan kerjasama yang lebih erat antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dan rangkaian UNU di seluruh dunia. Kerjasama ini turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam bidang kesihatan, pendidikan, inovasi dan perkongsian global.

Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan United Nations dalam memperkasa peranan pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan mampan, kemajuan teknologi dan penyelesaian cabaran global. Kerjasama ini juga sejajar dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan kecemerlangan akademik, pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta pengukuhan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.

Malaysia turut menjalin hubungan kerjasama yang erat dengan United Nations University (UNU) melalui penubuhan United Nations University International Institute for Global Health (UNU-IIGH) pada tahun 2006 menerusi perjanjian yang dimeterai antara Kerajaan Malaysia dan UNU. Sejak penubuhannya, UNU-IIGH yang beroperasi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memainkan peranan penting dalam memajukan agenda kesihatan global, penyelidikan dan pembangunan dasar dengan sokongan berterusan Kerajaan Malaysia.

Semoga hubungan erat yang terjalin ini terus membuka ruang kepada inisiatif kerjasama yang lebih bermakna demi memajukan agenda pendidikan tinggi negara dan kesejahteraan masyarakat sejagat. 

  • Last updated on .
  • Hits: 96
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 15 Jun 2026, 10:03:49.

logo-sirim