Malaysia Sebagai Pusat Pendidikan Perbankan Kewangan Islam Antarabangsa

Malaysia Sebagai Pusat Pendidikan Perbankan Kewangan Islam Antarabangsa

YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Azmi Omar, Presiden International Council of Islamic Finance Educators (ICIFE) di pejabatnya semalam.

Pertemuan ini diadakan bagi membincangkan jalinan kerjasama strategik di antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan ICIFE dalam bidang perbankan dan kewangan Islam. Selaras dengan visi penubuhan ICIFE sebagai pemangkin untuk mewujudkan kumpulan pakar bertaraf dunia dan para profesional yang berwibawa dalam bidang perbankan dan kewangan Islam bagi memenuhi keperluan industri di peringkat domestik dan antarabangsa.

Fokus utama yang diutarakan dalam sesi pertemuan ini ialah menambah baik dan memberi nilai tambah kepada program pendidikan perbankan dan kewangan Islam melalui tiga (3) bidang utama iaitu membina pengetahuan, membina kemahiran serta membina kecekapan dan pengalaman selain memberikan akreditasi kepada kursus-kursus perbankan dan kewangan Islam di dalam dan luar negara.

Hadir bersama ialah YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; YBrs. Puan Fazidah Mustafa, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT; YBhg. Dato' Mohd Sharil Abdullah, Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi; pegawai-pegawai kanan KPT dan delegasi daripada ICIFE.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1658
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 14 Jun 2024, 19:20:56.