Malaysia - China, Komited Kukuhkan Kerjasama Dua Hala Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Malaysia - China, Komited Kukuhkan Kerjasama Dua Hala Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi hari ini telah berbesar hati menerima kunjungan hormat oleh TYT Ouyang Yujing, Duta Besar Republik Rakyat China dan delegasi yang terdiri daripada Encik Zhano Changtao, Penasihat Pendidikan dan Cik Zhang Tian, Atase Pendidikan Republik Rakyat China ke Malaysia.

Dalam pertemuan ini, YB Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan komitmen Malaysia untuk terus komited mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada melalui beberapa program kerjasama pendidikan tinggi melalui institusi pendidikan tinggi (IPT) kedua-dua buah negara serta menerokai potensi kerjasama baharu.

Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai cadangan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi di antara kedua-dua buah negara, perkembangan penubuhan China-Malay Language Centre di 16 buah universiti di China, kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan kapasiti seperti digital economy, artificial intelligence, e-commerce, big data dan electronic vehicles serta kolaborasi dengan pihak industri melalui latihan industri kepada pelajar-pelajar Malaysia di syarikat-syarikat ternama China di Malaysia bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Turut hadir dalam sesi kunjungan ini ialah YBhg. Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPT; YBhg. Datin Noorazah Omar, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPT; Encik Novie Tajuddin, Ketua Pegawai Eksekutif, Education Malaysia Global Services (EMGS); dan pegawai-pegawai kanan KPT.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2268
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Julai 2024, 10:52:23.