Majlis Simbolik Pembukaan Akaun Bank MPP, Orak Langkah Pemerkasaan Mahasiswa Selaras Pindaan AUKU 2023

Majlis Simbolik Pembukaan Akaun Bank MPP, Orak Langkah Pemerkasaan Mahasiswa Selaras Pindaan AUKU 2023

Majlis Simbolik Pembukaan Akaun Bank Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta penyerahan cek cura yang berlangsung petang semalam telah menjadi tanda aras baharu dalam agenda pemerkasaan mahasiswa.

Disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, beliau menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah penting dalam membentuk generasi pemimpin masa depan yang lebih berdaya saing.

Malah, ia selari dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2024 yang telah dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu, khususnya melalui Seksyen 48(11) Jadual Pertama, yang membolehkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menyelenggara kumpulan wang atau akaun mereka sendiri, sekali gus memberi autonomi kepada mahasiswa dalam pengurusan kewangan.

Majlis tersebut turut menyaksikan kehadiran wakil Majlis Perwakilan Pelajar dari 20 Universiti Awam di seluruh negara, yang menerima geran aktiviti berjumlah RM20,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) serta sumbangan bernilai RM2,000 daripada rakan strategik MySiswa, RHB Islamic Bank bagi menyokong pelbagai aktiviti pemerkasaan mahasiswa.

Penyerahan cek cura bernilai RM38,000 kepada Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia turut menjadi pengisi acara, yang telah diserahkan kepada Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Syahril Ahmad Sofian.

Dalam ucapannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa usaha ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu manifestasi komitmen kerajaan terhadap kebajikan dan masa depan mahasiswa.

"Pindaan AUKU ini bukan sahaja membuka ruang kepada mahasiswa untuk mempelajari pengurusan kewangan secara praktikal tetapi juga mendidik mereka menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan berintegriti," katanya.

Inisiatif ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak langkah strategik untuk memastikan mahasiswa bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar dengan kemahiran pengurusan dan kepimpinan yang kukuh.

Terdahulu, YB Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YPS Bil 2/2024 yang membincangkan pelbagai agenda strategik untuk meningkatkan keberkesanan inisiatif yang dirancang oleh yayasan tersebut.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif YPS, Hirman Awang; dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Dato' Adissadikin Ali. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 508
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 13 Februari 2025, 07:17:37.

logo-sirim