Majlis Penasihat Industri Politeknik 2025 Garis Resolusi Kebolehpasaran Graduan Untuk Ekonomi MADANI

Sesi dialog Majlis Penasihat Industri Politeknik (MPIP) 2025 bersama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pagi tadi menegaskan keperluan memperkukuh sinergi pendidikan dan industri bagi memenuhi tuntutan pasaran kerja berlandaskan kerangka Ekonomi MADANI.
Bertemakan POLYCC-Industri Menjana Tenaga Kerja Pintar untuk Ekonomi MADANI, majlis ini menghimpunkan sembilan (9) kluster industri utama termasuk pembuatan; logistik; pertanian; digitalisasi; kejuruteraan petrokimia; elektrik dan elektronik; pelancongan dan hospitaliti; alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG); serta badan akreditasi.
Pembentangan resolusi MPIP mendedahkan walaupun kebolehpasaran graduan politeknik mencatat 98.8 peratus pada 2024, ketidaksepadanan bidang pengajian dengan pekerjaan serta gaji rendah kekal sebagai cabaran utama.
YB Menteri menegaskan bahawa politeknik perlu bergerak ke arah lebih praktikal dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa seperti model KOSEN di Jepun yang menghubungkan secara terus institusi dengan keperluan sebenar industri.
Dalam sesi perbincangan, wakil industri mencadangkan penubuhan pusat sehenti untuk penyelarasan permintaan tenaga kerja, pelaksanaan hab keusahawanan, dan pemerkasaan Work-Based Learning (WBL) di rangkaian politeknik.
Majlis turut menyaksikan pelancaran dua (2) buah buku yang mendokumentasikan kisah kejayaan kolaborasi WBL antara Politeknik dan rakan industri, termasuk kerjasama bersama PKT Logistics sejak 2012.
Sebagai penghargaan, mantan Pengerusi MPIP, Tan Sri Dato’ Sri Sufri Mohamad Zain turut menerima pengiktirafan sebagai Ikon WBL POLYCC 2024 manakala UEM Edgenta Berhad dan Global Rail Sdn. Bhd. diumumkan penerima Anugerah 'Outstanding Industry Mentorship'.
Selain itu, watikah pelantikan turut disampaikan kepada tiga (3) orang ahli baharu MPIP 2025–2026 sebagai pengukuhan kesinambungan kepimpinan.
YB Menteri menegaskan kerjasama berterusan pendidikan tinggi dan industri penting bagi memastikan graduan Politeknik terus kekal relevan dalam ekosistem pekerjaan yang semakin dipacu automasi, kecerdasan buatan dan ekonomi digital.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah JPPKK, Dato’ Dr. Mohd Zahari Ismail; serta Pengerusi MPIP yang juga Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan PKT Logistics, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 331