Lebih 2,000 Mahasiswa Baharu Meriahkan Program 'Talk To Us' Di UniMAP

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah menjejakkan kaki ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) buat kali pertamanya pagi tadi bagi meneruskan program 'Talk To Us' bersama lebih 2,000 orang mahasiswa baharu universiti tersebut.
Siri interaksi secara langsung memaparkan beliau sebagai hos itu, turut dijayakan dengan gandingan barisan ahli panel yang merupakan alumni UnIMAP yang telah berjaya melakar kejayaan ketika bergelar mahasiswa dahulu serta dalam karier masing-masing kini.
Menerusi program pagi tadi, para mahasiswa dapat mendengar perkongsian mengenai cabaran, pengalaman, serta tips yang dapat mengaspirasikan mereka menjadi pelajar cemerlang dari ahli panel, termasuklah YB Timbalan Menteri sendiri.
Menurut beliau, "sesi ini sebenarnya bertujuan untuk memberi ruang kepada para pelajar, terutama pelajar baharu, untuk meluahkan masalah-masalah yang mereka hadapi pada awal tempoh mereka di kampus".
"Alhamdulillah, hari ini banyak persoalan telah ditimbulkan dan kita juga memberi gambaran kepada para pelajar bahawa universiti ini mempunyai banyak aktiviti yang mereka boleh ikuti untuk membentuk diri menjadi insan dan warga negara yang baik".
Penganjuran siri 'Talk To Us' tadi telah diadakan bersempena lawatan kerja YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud ke Negeri Perlis serta hari terakhir Minggu Suai Kenal (MSK) Sidang Akademik 2024/2025 UniMAP, yang turut melibatkan penyertaan pelajar dari UiTM Cawangan Perlis dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Usai 'Talk To Us', YB Timbalan Menteri telah turut berkesempatan melawat ke Pusat Kecemerlangan Latihan Teknologi Semikonduktor UniMAP.
Hadir sama Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli; Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi; dan barisan pengurusan tertinggi UniMAP.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1061