Lawatan dan Sesi Ramah Mesra YBM bersama Penduduk Kampung Bukit Tumboh, di Yan, Kedah

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi, hari ini telah meluangkan masa mengadakan lawatan dan sesi ramah mesra bersama penduduk Kampung Bukit Tumboh, di Yan, Kedah yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini.
Lawatan tersebut bersempena dengan program Misi Bantuan Pasca Bencana Yan, Kedah anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM Techmission 2021 @ Yan) untuk membantu mangsa kejadian banjir kilat di sekitar kaki Gunung Jerai.
Kejadian banjir kilat yang melanda kawasan tersebut pada 18 Ogos lalu akibat fenomena kepala air telah mengakibatkan penduduk kampung di sekitar daerah Yan terputus bekalan air bersih.
UTM telah mengambil inisiatif menjalankan misi bantuan tersebut untuk memasang paip air sebagai saluran bekalan air bersih bagi keperluan harian kepada 500 buah keluarga yang terjejas.
Program ini dilihat dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai aktiviti kesukarelawanan di samping mendekatkan warga akedemia dengan komuniti luar bandar.
Selain itu, YB Menteri turut menyertai Program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin (Zon Utara) dan meluangkan masa menyantuni beberapa pelajar B40 dari UMS, UUM, UNIMAP, USM, UMT, UPSI dan UiTM di sekitar daerah Yan serta menyampaikan sumbangan bagi meringan beban keluarga mereka.
Turut hadir YB Dato' Suraya Yaacob, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dr Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Prof. Dato' Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail,Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dato' Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Dr. Haim Hilman Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) menjalankan tugas Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan En Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
 
  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6743
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 14 Jun 2024, 19:20:56.