Kunjungan YB Menteri Ke MSU Disambut Meriah

Kunjungan YB Menteri Ke MSU Disambut Meriah

Meriah dan gempita.

Dua perkataan yang sesuai untuk menggambarkan betapa hebatnya sambutan warga Universiti Pengurusan dan Sains (Management and Science University - MSU), lebih-lebih lagi para pelajarnya apabila Menteri Pendidikan Tinggi turun ke situ bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat dan Iftar Perdana 2024 MSU malam tadi.

Sentiasa dikerumuni oleh para pelajar sedari tiba hingga pulang , baik dari tempatan hinggalah ke antarabangsa seperti Indonesia, Timur Tengah, China dan Korea, YB Menteri melahirkan rasa gembira kerana dapat bersemuka dengan mereka dalam suasana yang santai dan mesra itu.

Ketika menyampaikan ucapannya, beliau telah merakamkan penghargaan dan rasa bangga atas pencapaian MSU hingga tersenarai antara Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tempatan yang dikenali di rantau ini yang memiliki sehingga hampir 20 ribu orang pelajar.

Usaha dan ambisi yang diterapkan oleh MSU selama ini menepati perancangan Kementerian Pendidikan Tinggi dan juga satu daripada lima (5) fokus utama beliau iaitu Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Malaysia.

Justeru, beliau dan Kementerian akan memastikan segala usaha akan dilakukan bagi meneroka peluang kerjasama, menjalin kolaborasi serta pemeteraian perjanjian dengan pihak berkuasa luar negara bagi meningkatkan lagi keterserlahan kualiti dan jenama pendidikan tinggi negara.

Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan serahan zakat sumbangan Yayasan MSU, sebelum mendirikan ibadat solat fardu dan terawih berjemaah.

Beliau seterusnya melancarkan sambutan Cahaya Aidilfitri MSU 2024 bersama sorak sorai semua mahasiswa yang hadir.

Selain itu, beliau turut dikejutkan dengan upacara memotong pulut kuning sempena ulang tahun kelahiran beliau tempohari.

Di kesempatan itu juga, beliau turut melancarkan tayangan filem pendek aidilfitri hasil garapan para pelajar dan warga MSU bertajuk "Yang Hilang".

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; dan Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dato Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1385
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim