KSU KPT Pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Banjir, Koordinasi Bantuan Kepada Mangsa

KSU KPT Pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Banjir, Koordinasi Bantuan Kepada Mangsa

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Banjir bagi mengkoordinasikan segala bentuk bantuan kepada mangsa.

Berdasarkan situasi semasa banjir yang menjejaskan sembilan (9) negeri pada ketika ini, KPT akan menggerakan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) melalui Skuad Ihsan MADANI KPT untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan mangsa-mangsa banjir termasuk warga IPT meliputi pelajar dan kakitangan.

Antara bentuk bantuan yang dihulurkan termasuk bekalan makanan, kerja pembersihan, khidmat kaunseling serta menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di premis IPT.

Sehingga 2 Disember, dilaporkan seramai 7,338 pelajar dan staf Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menjadi mangsa banjir dan turut menjejaskan beberapa premis IPT terutama di Kelantan dan Terengganu.

KPT juga memberikan kemudahan kepada IPT untuk menjalankan proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara atas talian bagi mangsa dan IPT terjejas banjir.

Bilik gerakan banjir di setiap IPT terjejas turut diaktifkan bagi memudahkan pelajar, kakitangan mahupun ibu bapa mendapatkan maklumat lanjut berkaitan situasi semasa.

Dalam pada itu, mesyuarat jawatankuasa turut menetapkan agar para pengkaji dan akademia IPT menjalankan kajian berkaitan banjir bagi mencari solusi dan idea inovatif untuk mengurangkan kemudaratan serta impak bencana ini pada masa akan datang.

KSU KPT juga turut menggalakkan para akademia terus berkongsikan bidang kepakaran masing-masing sebagai usaha pemindahan ilmu kepada masyarakat. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 322
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 01:24:25.

logo-sirim