KPT Teruskan Pelaksanaan Program Penajaan MyBrain 2.0 Dan Umum Kenaikan Kadar Elaun Sara Hidup (ESH)

KPT Teruskan Pelaksanaan Program Penajaan MyBrain 2.0 Dan Umum Kenaikan Kadar Elaun Sara Hidup (ESH)

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneruskan pelaksanaan program penajaan MyBrain 2.0 sebagai kesinambungan kepada program MyBrain15 mulai tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi setiap ambilan.

Jelas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, KPT mensasarkan seramai 500 orang penerima bagi setiap tahun dalam kalangan orang awam yang tidak bekerja; tiada pendapatan tetap; atau pensyarah Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah yang dijangka akan dibuka pada Januari 2024 nanti.

Berucap dalam majlis pelancaran MyBrain 2.0 di Dewan Za'ba petang tadi, beliau turut mengumumkan kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar sedia ada dan baharu di bawah Program Penajaan KPT bagi peringkat sijil hingga pascasiswazah dalam dan luar negara.

Menurutnya, kenaikan kadar ESH ini akan berkuat kuasa mulai tahun 2024 dan pertambahan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM30.78 juta dengan seramai 24,729 orang pelajar tajaan KPT bakal menerima manfaat ini.

Tambah beliau lagi, kenaikan kadar ESH ini merupakan salah satu usaha kerajaan bagi mengimbangi kos sara hidup pelajar selain memastikan pelajar tajaan KPT kekal fokus meneruskan pengajian dalam keadaan yang kondusif.

Pada majlis itu tadi, beliau telah menyampaikan surat tawaran kepada para pelajar tajaan KPT dari peringkat sijil hingga pascasiswazah yang berjaya melanjutkan pengajian pada tahun 2023.

Untuk rekod, tahun ini menyaksikan seramai 17,015 orang pelajar daripada pelbagai kumpulan sasar telah diberikan penajaan sama ada dalam bentuk biasiswa, dermasiswa atau bantuan kewangan melibatkan kos sebanyak RM156 juta, manakala bagi tahun 2024, sebanyak RM206 juta dijangka diperuntukkan seperti mana pembentangan Belanjawan 2024 lalu.

YB Menteri turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Program MyBrain 2.0 antara KPT dan YTL Cement Berhad bagi mewujudkan kerjasama strategik melalui penubuhan sebuah Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri.

Melalui konsortium tersebut, YTL Cement Berhad akan menyediakan geran padanan sebanyak RM1.6 juta untuk menaja pelajar tempatan cemerlang peringkat pascasiswazah rentas bidang sebagai usaha memulihara warisan landskap kars batu kapur negara serta penggunaannya secara lestari.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2177
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 24 Februari 2024, 09:25:25.