KPT Teruskan Misi Cemerlang Untuk Tahun 2025: Fokus Pada Kesinambungan Dan Keberhasilan

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pagi tadi menegaskan pentingnya kesinambungan usaha serta keberhasilan dalam misi mencapai kecemerlangan pada tahun 2025 ini.
Beliau menekankan bahawa pencapaian pada tahun 2024, seperti kejayaan penganjuran Festival of Ideas, bukan sekadar agenda tahunan tetapi misi jangka panjang kementerian.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menyeru warga KPT untuk terus mengamalkan prinsip kerja berpasukan, atau konsep "daripada I kepada We", sebagai asas dalam melaksanakan tanggungjawab.
Menurutnya, nilai 'Itqan Fil Amal' (bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan) dan 'al-Birru wa Taqwa' (melakukan kebaikan dan bersama-sama untuk pastikan kebaikan itu dapat kita laksanakan dengan sebaik-baiknya) adalah kunci dalam memastikan setiap inisiatif kementerian mencapai kejayaan.
Beliau turut menyampaikan penghargaan atas usaha keras warga kementerian sepanjang tahun 2024 dan berjanji untuk mengupas perancangan lebih mendalam dalam Amanat Tahun 2025 pada minggu hadapan.
Terdahulu, beliau bersama Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; para pengurusan tertinggi kementerian, jabatan, agensi, IPTA serta kakitangan telah mendengar Amanat Tahun Baharu 2025 YAB Perdana Menteri yang telah disiarkan secara penstriman langsung di Dewan Za'ba KPT.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 372