KPT Terus Cemerlang, Terima Pengiktirafan Anugerah Pembangunan Negara 2024

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekali lagi membuktikan kecemerlangannya dalam pengurusan pembangunan projek apabila berjaya merangkul Anugerah Prestasi Pembangunan Terbaik bagi kategori peruntukan di atas RM1 bilion (tempat kedua) pada majlis Anugerah Pembangunan Negara 2024 petang tadi.
Mewakili kementerian, pengiktirafan berprestij ini diterima oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian.
Pencapaian ini mengekalkan momentum KPT yang sebelum ini telah meraih dua kategori anugerah pada tahun 2023, termasuk Anugerah Pengurusan IBS Terbaik dan Anugerah Prestasi Pembangunan Terbaik.
Kejayaan ini tidak hanya mencerminkan komitmen KPT dalam melaksanakan agenda transformasi pendidikan tinggi negara, tetapi juga membuktikan kesungguhan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan yang dinamik serta selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
Anugerah Pembangunan Negara yang dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), menjadi medan untuk kementerian dan agensi kerajaan berkongsi amalan terbaik dalam pelaksanaan projek pembangunan. Penilaian dibuat berdasarkan keberkesanan pelaksanaan, inovasi, serta impak yang memberi manfaat berganda kepada rakyat.
Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang dalam ucapannya turut memuji usaha gigih kementerian dan agensi kerajaan dalam memastikan pelaksanaan projek mencapai outcome yang signifikan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat serta menyumbang kepada kejayaan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 685