KPT Terima Kunjungan Duta Besar Finland, Perkukuh Hubungan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia-Finland

2 November 2026 I Putrajaya
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hari ini menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Finland ke Malaysia, TYT Anne Vasara, dan Duta Pendidikan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Eksport Perkhidmatan serta Jenama Pengguna, Kementerian Luar Negeri Finland, TYT Outi Hakanen, bersama delegasi Kedutaan serta barisan kepimpinan Institusi Pendidikan Tinggi Finland.
Pertemuan ini menjadi platform strategik untuk bertukar-tukar pandangan dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Finland, khususnya menerusi perluasan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi, pembangunan modal insan, serta penerokaan potensi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) peringkat tinggi.
Sesi libat urus ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memacu pembaharuan, mengemas kini, dan menambah baik kualiti kurikulum Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara. Tumpuan khusus diberikan kepada bidang bernilai tinggi seperti Elektrik dan Elektronik (E&E), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta penawaran pensijilan mikrokredential (Micro-credentials) bertaraf antarabangsa.
Jaringan diplomatik seumpama ini amat signifikan sebagai jambatan strategik bagi meneroka peluang baharu, sekali gus melonjakkan keterlihatan serta reputasi kecemerlangan IPT Malaysia di persada dunia.
KPT menaruh keyakinan penuh agar kerjasama diplomatik ini terus dimanfaatkan sebagai pemangkin pengantarabangsaan pendidikan tinggi, merangkumi:
(i) Peluasan program mobiliti pelajar dan ahli akademik;
(ii) Penyelidikan bersama serta pemindahan kepakaran; dan
(iii) Jalinan kerjasama antara institusi yang berimpak tinggi serta mampan.
Inisiatif ini mendokong penuh aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dalam memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global yang berdaya saing, di samping memperluas akses kepada rangkaian ilmu, teknologi, dan inovasi dunia.
KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen delegasi Finland serta dedikasi seluruh warga KPT dalam menjayakan agenda pengantarabangsaan ini demi mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa.
- Last updated on .
- Hits: 34
