KPT Sokong Inisiatif GTPC, Platform Digital Perkasa Penempatan Kerjaya Graduan TVET

KPT Sokong Inisiatif GTPC, Platform Digital Perkasa Penempatan Kerjaya Graduan TVET

7 Mei 2026 | Kuala Lumpur

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan apabila menyokong secara rasmi pra-pelancaran Pusat Penempatan TVET GITC (GITC TVET Placement Centre, GTPC), sebuah inisiatif strategik oleh Majlis TVET Industri Kerajaan Malaysia (Government-Industry TVET Coordination Body, GITC) yang dibangunkan bagi menyediakan laluan lebih tersusun antara pendidikan TVET dan keperluan industri negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim berkata, GTPC yang dibangunkan berteraskan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) akan memadankan graduan dengan peluang pekerjaan, latihan industri, dan pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning, WBL) merentasi 23 sektor ekonomi negara.

Beliau berkata, KPT mahu memastikan graduan TVET bukan sahaja memperoleh pekerjaan, malah membina kerjaya yang bermakna dan berdaya saing selaras dengan keperluan industri semasa.

KPT turut melihat platform tersebut sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, institusi TVET serta industri melalui ekosistem penempatan yang lebih bersepadu dan responsif.

GITC dalam pada itu memaklumkan bahawa GTPC diwujudkan dengan aspirasi untuk membuka peluang yang sama rata kepada semua graduan TVET di seluruh negara tanpa mengira lokasi institusi pengajian mereka.

Menurut GITC, platform tersebut menyediakan pendemokrasian (democratisation) pilihan kepada graduan dengan membolehkan mereka mengakses lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan, manakala majikan pula dapat mengenal pasti graduan berdasarkan sub-kepakaran yang bersesuaian dengan kehendak industri.

GITC turut menjelaskan bahawa integrasi elemen AI dalam GTPC membolehkan proses pemadanan bakat dilaksanakan secara lebih tepat, efisien, dan berpusatkan permintaan sebenar pasaran pekerjaan.

Selain peluang pekerjaan graduan, GTPC juga merangkumi dimensi latihan industri, WBL, serta sangkutan industri (industrial attachment) untuk pensyarah dan pengajar dalam usaha memperkukuh keseluruhan ekosistem TVET negara.

GITC menyasarkan sebanyak 10,000 syarikat akan menyertai platform tersebut dalam tempoh dua (2) tahun sebagai sebahagian daripada usaha mengubah pendekatan ekosistem TVET daripada tolakan penawaran (supply push) kepada tarikan permintaan (demand pull) yang lebih efektif.

KPT sehingga kini telah berkongsi pangkalan data melibatkan seramai 250,000 orang pelajar dan graduan ke dalam platform GTPC sebagai manifestasi sokongan berterusan kementerian terhadap inisiatif pemerkasaan TVET yang diterajui GITC.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pengerusi GITC, Tan Sri Dato' (Dr) Soh Thian Lai; Timbalan Pengerusi GITC, Dato' J. Palaniappan; Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (Federation of Malaysian Manufacturers, FMM), Jacob Lee Chor Kok; dan Ketua Pegawai Eksekutif GITC, Jamil Bakri. 

  • Last updated on .
  • Hits: 64
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 08 Mei 2026, 09:18:20.

logo-sirim