KPT Sentiasa Prihatin Tingkatkan Keterlibatan Golongan Wanita

KPT Sentiasa Prihatin Tingkatkan Keterlibatan Golongan Wanita

YB. Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah merasmikan Majlis Bicara Inspirasi Nona 2022 anjuran TV3 bersama figura-figura hebat wanita negara di Petaling Jaya pagi tadi.
Isi kandungan Nona yang sentiasa berevolusi dengan dunia wanita berkisar tema kekeluargaan, kerjaya, perubatan dan juga isu-isu semasa telah banyak memberikan manfaat kepada kemajuan dan pemerkasaan wanita di Malaysia.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Menteri berkata kementeriannya telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha memperkasakan para wanita, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Pada masa ini, 3 orang wanita sedang menjawat jawatan tertinggi di KPT iaitu Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), dan 2 orang Naib Canselor Universiti awam.
Tambahan beliau, daripada 87 jawatan pengurusan tertinggi di universiti awam termasuk Timbalan Naib Canselor, 14 jawatan atau 16.09 peratus adalah dipegang oleh wanita.
Menyedari jumlah tersebut masih belum mencukupi, KPT terus komited untuk meningkatkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita menjawat posisi pembuat keputusan.
Menyentuh topik keusahawanan, beliau menyeru para usahawan termasuklah para pelajar IPT untuk memanfaatkan segala sumber yang ada dalam memperkasakan pembangunan diri dan juga ekonomi.
Malah, para usahawan wanita turut digesa menyertai kemajuan dunia digital global serta mengambil peluang yang ditawarkan oleh pelbagai agensi kerajaan untuk terus melebarkan sayap perniagaan mereka ke arena antarabangsa.
Turut hadir, Datuk Seri Dr. Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, dan Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi, Pengerusi BERNAMA.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3709
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 21 Mei 2024, 15:10:04.