KPT Sedia Bantu Somalia Dalam Transformasi Bidang Pendidikan Tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pendidikan, Kebudayaan dan Pendidikan Tinggi Republik Persekutuan Somalia, TYT Farah Sheikh Abdulkadir dan State Minister of Foreign Affairs & International Cooperation Republik Persekutuan Somalia, TYT Ali Mohamed Omar pada petang semalam.
Pertemuan ini telah membincangkan potensi kerjasama antara Malaysia dan Republik Persekutuan Somalia. TYT Farah Sheikh Abdulkadir menyatakan bahawa Kerajaan Republik Persekutuan Somalia memerlukan bantuan Malaysia dari segi pembangunan sumber manusia, terutamanya yang melibatkan golongan pasca-siswazah dan golongan pensyarah universiti, serta pemindahan ilmu (knowledge transfer) dalam bidang-bidang berteknologi tinggi.
YB Menteri turut menyatakan kesediaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk membantu Somalia dalam memantapkan badan penilaian kurikulum dan akreditasi di Somalia yang sedia ada. Selain itu, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) juga dapat menawarkan kepakaran dalam pembangunan kepimpinan pendidikan tinggi melalui pelbagai program dan kerjasama strategik.
YB Menteri juga mempelawa rakyat Somalia untuk memohon program-program yang ditawarkan di bawah Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) dan biasiswa di bawah Islamic Development Bank (IsDB).
TYT Farah Sheikh Abdulkadir juga telah dipelawa oleh YB Menteri untuk menyertai sesi khas yang akan dianjurkan khusus untuk Menteri-menteri pendidikan tinggi negara-negara anggota Organisation of Islamic Cooperation (OIC). Sesi khas ini akan dianjurkan bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama semasa Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 yang bakal berlangsung antara 4 hingga 8 November 2025.
Selain itu, TYT Ali Mohamed Omar turut berkongsi perkembangan semasa di Somalia dan beliau memohon agar graduan Somalia daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dapat diterima masuk melalui Skim Visa Pascasiswazah Malaysia (Malaysian Post-Graduate Visa Scheme) serta Program Visa Kemanusiaan Tahunan (Annual Humanitarian Visa Program).
Turut hadir dalam sesi ini ialah Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengarah AKEPT, YBrs. Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Ketua Pegawai Eksekutif MQA, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran; Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Encik Novie Tajuddin; Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, YBhg. Datin Noorazah Omar; dan Setiausaha Bahagian Afrika Kementerian Luar Negeri, Encik R. Suresh Kumar.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 201