KPT Salur RM50,000 Semarakkan Aktiviti Sastera IPT Bersama GAPENA
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan dana sebanyak RM50,000 kepada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) sebagai usaha memulakan kerjasama dalam mengangkat martabat Bahasa Melayu dan budaya tempatan.
Kerjasama tersebut akan merangkumi aktiviti-aktiviti penyemarakan kesusasteraan serta puisi dan lagu rakyat dalam kalangan pelajar juga warga Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengumumkan yang demikian ketika menyempurnakan Sambutan Hari Puisi Kebangsaan 2024 anjuran GAPENA bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara malam tadi.
Menurutnya, dalam era yang serba kompleks dan ditandai dengan pelbagai kecanggihan dan kemajuan teknologi ini, kita sama sekali tidak boleh meninggalkan aspek kesusasteraan dan budaya tempatan.
Jelasnya lagi, kedua-dua aspek tersebut merupakan elemen penting yang menjadi nilai serta keseimbangan kepada setiap peradaban manusia.
Selain itu, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada penganjur majlis yang telah meraikan sumbangan serta perjuangan khalayak sastera tanah air yang tekal menjadikan puisi bagi mengungkapkan keresahan, harapan dan denyut nadi rakyat.
Tarikh 12 Julai yang juga merupakan hari lahirnya Sasterawan Negara, Allahyarham Dato' Usman Awang telah diangkat sebagai Hari Puisi Kebangsaan yang disambut setiap tahun.
Di kesempatan itu, YB Menteri turut mengungkapkan bait-bait sajak nukilan Allahyarham yang telah mengaspirasikan hidupnya iaitu 'Jiwa Hamba'.
Pada majlis yang sama, YB Menteri turut berbesar hati menyampaikan Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan 2024 kepada saudara Marzuki Ali serta saudara Muhamad Puzi A Hadi (Puzi Hadi).
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; serta Presiden GAPENA, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1378