KPT Perkasa Agenda Keterjaminan Makanan Negara Melalui Peranan IPT Dan Kerjasama Industri

KPT Perkasa Agenda Keterjaminan Makanan Negara Melalui Peranan IPT Dan Kerjasama Industri

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim telah menyampaikan ucaptamanya dalam Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2025 (PKMK 2025) yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam.

Beliau menegaskan komitmen KPT untuk memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara melalui mobilisasi kepakaran institusi pendidikan tinggi, penyelidikan berimpak tinggi dan kerjasama erat dengan industri.

Menurut beliau, pelaksanaan Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022–2025 serta pelan baharu Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 turut mendokong Dasar Agromakanan Negara 2.0, selari dengan matlamat ‘Kelaparan Sifar’ yang digariskan oleh Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) UNESCO.

Beliau turut menggariskan tiga (3) strategi utama bagi universiti dalam menyokong dasar ini, iaitu penyelidikan berorientasikan penyelesaian, pembangunan sumber manusia dalam ekosistem pertanian moden serta perluasan pembiayaan melalui sektor swasta.

Antara inisiatif signifikan yang diketengahkan termasuk Blueprint Keterjaminan Makanan yang diterajui oleh UPM dan penubuhan Nexus Keterjaminan Makanan bagi menyatukan IPT yang menjalankan penyelidikan berkaitan bagi menangani isu sekuriti makanan secara bersepadu.

Beliau juga menekankan keperluan untuk menarik minat belia ke dalam sektor pertanian melalui pendekatan pertanian pintar dan penggunaan teknologi seperti automasi dan Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti sektor ini.

Selain UPM, institusi lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut dipuji atas sumbangan dalam menghasilkan inovasi pertanian dan teknologi pemprosesan makanan.

Beliau turut menyeru sektor industri agar terus menyokong penyelidikan institusi pendidikan tinggi melalui pembiayaan dan tajaan pelajar penyelidikan serta menyerap bakat muda sebagai pelapis masa depan.

Persidangan ini diharap dapat menghasilkan input baharu dan pelan tindakan yang mampu memperkukuh sistem makanan negara serta mempercepat transformasi sektor agromakanan ke arah yang lebih moden dan lestari.

Turut hadir, Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 186
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 15 Julai 2025, 07:22:36.

logo-sirim