KPT Pantau Kerja Pembaikan Infrastruktur Politeknik dan UiTM di Kota Kinabalu

7 Ogos 2026 | Kota Kinabalu, Sabah
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memastikan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf infrastruktur di Politeknik Kota Kinabalu serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu dilaksanakan mengikut jadual dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan demi menjamin keselesaan serta kesejahteraan warga kampus.
Sehubungan itu, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim telah mengadakan lawatan pemantauan ke kedua-dua institusi semalam bagi meninjau kemajuan pelaksanaan projek pembangunan serta mengenal pasti keperluan yang memerlukan tindakan segera sebelum kemasukan pelajar baharu pada September ini.
Di Politeknik Kota Kinabalu, beliau meninjau beberapa projek yang sedang dilaksanakan termasuk kerja-kerja pembaikan kabel gentian optik dan pembinaan lubang takungan pam (pump pit) baharu.
Lawatan tersebut turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah serta Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Md Nor Abdul Halim.
Seterusnya di UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu, beliau menerima taklimat prestasi projek pembangunan daripada Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Prof. Ts. Sr. Dr. Md Yusof Hamid bersama Rektor UiTM Cawangan Sabah, Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed sebelum meninjau sendiri pelaksanaan projek di sekitar kampus.
Beliau berpuas hati dengan kemajuan kerja apabila beberapa projek berjaya disiapkan mengikut jadual sebagai persediaan menyambut kemasukan pelajar baharu.
Dalam lawatan tersebut, KPT turut meneliti beberapa cadangan penambahbaikan termasuk menaik taraf pintu masuk kampus, penyediaan perabot baharu, penambahan kapasiti penginapan pelajar serta kerja-kerja baik pulih beberapa bangunan termasuk pejabat polis bantuan yang memerlukan perhatian.
Lawatan tersebut turut diisi dengan penyampaian Baucar Job on Campus, penyerahan sumbangan kepada sukarelawan Dapur Siswa MADANI, sesi ramah mesra bersama pelajar yang sedang menjalani latihan industri serta sesi fotografi bersama warga kedua-dua institusi.
- Last updated on .
- Hits: 299
