KPT Lancar Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022-2025 Serta Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Pengajian Tinggi 2021 – 2025

KPT Lancar Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022-2025 Serta Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Pengajian Tinggi 2021 – 2025

Dalam Perhimpunan Bulanan KPT pagi tadi juga telah berlangsungnya majlis pelancaran

Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022–2025 dan Pelan Strategik Pendigitalan KPT 2021-2025 yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, KSU KPT.

Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022–2025 (PTPTM 2022-2025) tersebut telah dibangunkan oleh kementerian bagi menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau ringkasnya PPPM (PT) yang merupakan dokumen strategik yang menjadi kompas kepada hala tuju pendidikan negara ini mendepani pelbagai bentuk cabaran baharu.

Melalui PTPTM 2022-2025 ini, sebanyak 10 Lonjakan, 32 strategi, 65 inisiatif dan 111 program telah digariskan dengan objektif utamanya adalah bagi mengkaji dan menilai prestasi semasa dari aspek relevansi inisiatif serta program berlandaskan perubahan dan perkembangan terkini pendidikan tinggi dalam mencapai kecemerlangan akademik yang mampan di peringkat global.

Beliau telah turut melancarkan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Pengajian Tinggi 2021 - 2025 (PSP KPT 2021-2025) yang telah dibangunkan bagi menyediakan sebuah rangka kerja pendigitalan kementerian yang lebih komprehensif dan holistik.

Menggariskan 4 teras strategik, 11 strategi dan 39 program pendigitalan bagi mengatasi isu semasa ICT dan memacu ke arah kecemerlangan sistem penyampaian KPT berteraskan ICT, pelan ini adalah cetak biru (blueprint) yang mengandungi pelaksanaan serta pemerkasaan teknologi digital yang terancang selaras dengan keutamaan keperluan pengurusan dan operasi KPT.

Dalam ucapannya, beliau berharap agar setiap warga KPT dapat mengenalpasti dan memahami hala tuju teknologi digital yang ditetapkan dan memberi komitmen penuh serta berusaha gigih bagi memastikan proses pendigitalan direalisasikan demi kebaikan semua.

Turut hadir YBhg. Dato' Prof. Dr. Husaini Omar, KPPT yang menjalakan fungsi KP JPPKK, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran, CEO MQA, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Nasrudin Mohamed, Pengarah AKEPT, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTPN, dan Encik Mohd Radzlan Jalaludin, CEO EMGS.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 7397
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 24 Februari 2024, 09:25:25.