KPT Lancar Garis Panduan Perhebat Usaha Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Negara

KPT Lancar Garis Panduan Perhebat Usaha Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Negara

KPT sentiasa bekerja keras dalam memposisikan jenama pendidikan tinggi Malaysia terus diiktiraf oleh badan-badan penarafan global seperti THE (Times Higher Education) dan QS (Quacquarelli Symonds) supaya usaha menarik minat pelajar antarabangsa dalam mencapai misi menjadi hab pendidikan tinggi dunia menjelang 2025 nanti dapat direalisasikan.

Dalam mencapai sasaran tersebut, pelbagai perkara termasuklah perencanaan pelan, penggubalan dasar, penentuan strategi berkesan, aktiviti promosi dan kerjasama strategik juga telah ditingkatkan agar segala inisiatif yang dilaksanakan berada pada landasan yang betul sekaligus berhasil menambah baik pertumbuhan pelajar dan staf antarabangsa di IPT tempatan.

YB. Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pengantarabangsaan Pengajian Tinggi 2022 (SPPT 2022) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pagi tadi.

Seminar yang disertai 145 orang peserta IPT dari dalam dan luar negara yang turut membentangkan 44 kertas kerja merupakan anjuran Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi (BEM) bersama USIM yang bertujuan untuk berkongsi ilmu dan pandangan mengenai usaha dan keberkesanan pelaksanaan program pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.

Bertemakan "Melonjakkan Aspirasi Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi yang Mampan", SPPT 2022 turut membincangkan strategi baharu pengantarabangsaan serta langkah-langkah terbaik mempromosi pendidikan tinggi negara pasca pandemik.

Dalam majlis tersebut, YB Menteri turut melancarkan 2 nakhah garis panduan baharu iaitu "Garis Panduan Amalan Terbaik Pengurusan Pelajar untuk Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia" dan "Garis Panduan Pelaksanaan Program Mobiliti (Inbound) di IPT Malaysia" yang diterbitkan sebagai inisiatif untuk menambah baik program mobiliti dan pengurusan pelajar antarabangsa di Malaysia.

Beliau turut berharap kedua-dua garis panduan tersebut dapat memantapkan lagi hala tuju IPT di Malaysia supaya lebih berdaya saing dan sentiasa proaktif dalam memastikan agenda melonjakkan aspirasi pengantarabangsaan pendidikan tinggi tercapai sekaligus mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

Turut hadir Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, KSU KPT, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Ts. Zainab Ahmad, KP JPPKK, Prof. Ir. Dr. Robiah Yunus, TKPPT, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, Naib Canselor USIM, Prof. Dr. Zaliman Sauli, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin, Naib Canselor UTeM, Prof. Madya Dr. Mohd Azmir Mohd. Nizah, Pengarah BEM, dan Mohd Radzlan Jalaludin, Ketua Eksekutif EMGS.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6745
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 24 Februari 2024, 09:25:25.