KPT Gembleng Usaha Angkat Harkat Bahasa Melayu Bersama IPT Awam Dan Swasta

KPT Gembleng Usaha Angkat Harkat Bahasa Melayu Bersama IPT Awam Dan Swasta

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa beriltizam memperkasa pelan dan inisiatif pemartabatan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Institusi-institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mencakupi semua disiplin ilmu.

Malah, iltizam murni itu bakal dipanjangkan kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) swasta secara berperingkat-peringkat agar senada dengan KPT dan IPTA dalam usaha memeta harkat Bahasa Melayu di dunia akademia sejagat.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan komitmen demikian ketika berucap melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPTA (2023-2030) bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) petang tadi.

Edisi ketiga pelan ini yang mula diperkenalkan 12 tahun lalu, kini mensasarkan empat (4) objektif utama baharu iaitu membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu; menghasilkan graduan yang berketerampilan dalam bahasa Melayu; merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara; dan memperkukuh peranan Bahasa Melayu sebagai sumber rujukan setanding dengan bahasa asing.

Keempat-empat objektif utama tersebut akan disokong oleh empat (4) teras iaitu pembudayaan bahasa Melayu dalam pengajaran, pembelajaran dan aktiviti kokurikulum; pemerkayaan bahasa dan persuratan Melayu di IPTA dan antarabangsa; pengukuhan bahasa Melayu di IPTA sebagai wadah pembangunan negara; serta pemerkasaan IPTA dalam pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Berasaskan teras-teras utama tersebut, KPT telah menyenaraikan 11 strategi dan 26 inisiatif pelaksanaan bagi IPTA menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan tersebut.

Ujarnya, Bahasa Melayu mesti mempunyai keanjalan agar ia mampu digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk memiliki perbendaharaan kata dan sistem yang meraikan pelbagai tradisi dan epistemologi merangkumi lingkungan akademik hingga ke ruangan rakyat biasa.

Tambah beliau, "Bahasa Melayu perlu dipandang sebagai khazanah negara yang bernilai tinggi", justeru pelaksanaannya yang juga sebahagian dari agenda nasional perlu disokong dan dijayakan oleh semua lapisan warga di IPT awam dan swasta tanpa sikap putus asa.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1295
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 08 Disember 2023, 17:12:30.