KPT Dan Kerajaan Bahrain Memperkukuh Hubungan Dua Hala Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

KPT Dan Kerajaan Bahrain Memperkukuh Hubungan Dua Hala Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin pada petang ini telah menerima kunjungan hormat oleh Encik Rashad Farooq Mohamed Saleh Alshaikh, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Bahrain di Kuala Lumpur.

Semasa sesi pertemuan ini, YB Menteri Pendidikan Tinggi telah menyatakan komitmen Malaysia untuk terus meningkatkan hubungan dua hala pendidikan tinggi dengan Kerajaan Bahrain melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Dalam Bidang Pendidikan Tinggi Antara Bahrain dan Malaysia yang dijangka akan ditandatangani pada tahun 2024.

Pada masa yang sama, Malaysia dan Bahrain juga bersedia untuk meneroka kerjasama yang baharu dalam bidang pendidikan tinggi terutamanya dalam bidang perbankan dan kewangan Islam, kerjasama antara agensi melalui program _Micro-credentials_ di bawah Malaysian Qualification Agency (MQA) dan program kepimpinan di bawah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Bahrain juga bersetuju mempertimbang untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar dan tenaga pengajar Malaysia yang berminat untuk mengadakan kerjasama penyelidikan berimpak tinggi di negara tersebut.

Turut hadir di pihak KPT ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman; dan Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, YBhg. Datin Noorazah Omar.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1882
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim