KPT Anjur Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara

KPT Anjur Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menganjurkan Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara yang majlis penutupnya disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof di sini semalam.

Program tersebut diadakan sebagai sokongan ke atas cadangan-cadangan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (National Review Committee atau NRC) yang ditubuhkan bagi menilai semula semua prinsip dan dasar sedia ada dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia.

Bertempat di pekarangan lobi KPT, Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara merupakan medium untuk orang awam memberi pandangan dan maklum balas berkenaan cadangan yang diunjurkan oleh Jawatankuasa NRC.

Pada Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara ini, Jawatankuasa NRC membentangkan lapan ( syor tumpuan menerusi tiga (3) tema utama bagi menghasilkan perubahan.

Tiga (3) tema berkenaan iaitu penciptaan sistem berprestasi tinggi yang mampan, penciptaan nilai untuk pelajar dan pembangunan bakat dan penciptaan tadbir urus yang tangkas dan cekap.

Selain itu ia termasuk pengenalpastian tujuh (7) tema umum yang menjadi penghalang perkembangan sistem pendidikan tinggi negara iaitu peraturan ketat yang mengekang perkembangan; proses tidak cekap yang menjadi punca kelewatan dan birokrasi; ketidakselarasan keperluan industri dan kurikulum akademik; hala tuju yang tidak jelas disebabkan jurang dasar dan polisi, sumber yang terhad; mekanisme pembiayaan kurang memberi insentif kepada institusi yang menunjukkan prestasi tinggi; serta penguatkuasaan dan pelaksanaan yang lemah.

Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara termasuklah Pameran Pendidikan Tinggi yang bertemakan ‘IPT Pemangkin Pembangunan Negara MADANI’ seperti pameran Produk Inovasi IPT merangkumi Kesihatan Awam; Keterjaminan Makanan; Teknologi Termaju; dan Warisan Bangsa.

Bagi menarik minat orang ramai juga, aktiviti interaktif turut disediakan seperti pameran dron dan robotik; Teknologi Makerspace dan AR/VR; kuiz inovasi; serta perkhidmatan Klinik Bergerak Hospital Pengajian Universiti (HPU): Pergigian, Mata dan Kesihatan Am.

Turut mengiringi YAB Timbalan Perdana Menteri adalah Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalannya, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal; dan pengurusan tertinggi KPT, Jabatan, Agensi serta Institusi-institusi Pendidikan Tinggi tempatan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1486
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 24 Februari 2024, 09:25:25.