KPT Angkat Suara 1.3 Juta Mahasiswa Sebagai Rakan Strategik Penggubalan Dasar RPTM 2026-2035

24 Februari 2026 | Shah Alam, Selangor
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini mengangkat peranan mahasiswa bukan sekadar penerima manfaat dasar, sebaliknya diangkat secara mutlak sebagai rakan strategik utama dalam kerangka penggubalan dasar pendidikan negara.
Komitmen teguh tersebut direalisasikan menerusi penganjuran Program Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Sesi 2025 secara kolaboratif bersama Yayasan Perkasa Siswa dan juga Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini semalam.
Melakar sejarah tersendiri apabila julung-julung kali diadakan, wacana berskala mega ini berjaya menghimpunkan seramai 981 wakil kepimpinan pelajar daripada Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, dan Kolej Komuniti seluruh negara.
Himpunan pimpinan kepimpinan pelajar ini secara simboliknya membawa perwakilan suara kolektif 1.3 juta penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta di seluruh Malaysia untuk didengari secara telus dan terus oleh pihak pembuat dasar.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam amanatnya menegaskan bahawa satu anjakan paradigma telah dilakukan dengan mengiktiraf mahasiswa sebagai barisan pemimpin yang sah pada hari ini, bukannya sekadar pelapis masa depan.
Menerusi sesi makmal dan dialog yang dijalankan secara telus serta terbuka, para perwakilan pelajar telah membentangkan enam (6) resolusi kritikal merangkumi aspek kebolehpasaran graduan, kos sara hidup, pendigitalan pendidikan, kesejahteraan mental, kepimpinan, serta tahap mobiliti global.
Menjawab pelbagai naratif yang dilontarkan semasa sesi soal jawab interaktif, pihak Kementerian komited untuk meneliti inisiatif penyelesaian tuntas termasuklah pemberian akses pendigitalan bersubsidi, pemerkasaan latihan TVET inklusif untuk OKU, serta penyelarasan piawaian ijazah sarjana muda kelas pertama yang adil.
Kesemua input berharga dan resolusi pragmatik daripada golongan akar umbi ini akan disepadukan sepenuhnya ke dalam penjajaran dokumen perancangan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 agar kelangsungan rancangan 10 tahun nanti benar-benar mencerminkan realiti di lapangan.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut memberikan jaminan kukuh bahawa amalan pintu terbuka Kementerian akan terus dipertahankan demi menggalakkan percambahan perbezaan idea dan meraikan kebebasan bersuara tanpa sebarang bentuk intimidasi pentadbiran, selaras dengan roh aspirasi Malaysia MADANI.
Sebagai tanda sokongan padu terhadap kelangsungan agenda pemerkasaan perwakilan pelajar, beliau turut mengumumkan sumbangan geran pengurusan dan aktiviti bernilai RM100,000 dari YPS kepada pihak MPPK yang diserahkan secara rasmi kepada Presidennya, Muhammad Irfan Firdaus Md Fauzi di penghujung majlis.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; para pegawai kanan KPT, agensi dan jabatan serta para Naib Canselor.
- Last updated on .
- Hits: 1318
