Konsert "Sounds Of Malaysia" Labuh Tirai Festival Idea Putrajaya 2025

Konsert "Sounds Of Malaysia" Labuh Tirai Festival Idea Putrajaya 2025

Usai sudah penganjuran Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 setelah lima (5) hari berjaya menjana ilham dan aspirasi kepada lebih ratusan ribu orang pengunjung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Semalam, bagi meraikan kemuncak Putrajaya FOI 2025, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Istana Budaya (IB) telah menganjurkan konsert Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) "Sounds of Malaysia" (SOM) sebagai menghargai sokongan serta penglibatan semua pihak yang terlibat.

Hadir menyerikan majlis, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim.

Kira-kira 3,000 orang penonton hadir memeriahkan Dewan Plenari PICC bagi menyaksikan konsert yang sarat dengan persembahan muzikal gabungan elemen tradisional dan moden, tarian serta nyanyian.

SOM merupakan siri konsert orkestra jangkauan (outreach) IB sejak tahun 2023 bagi memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia dengan kekayaan warisan budaya dan keindahan alat seni muzik tradisional pelbagai kaum tempatan.

Untuk SOM versi Putrajaya FOI 2025, OTM membariskan persembahan para pelajar serta artis kebudayaan daripada dua belas (12) buah Instistusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta.

Antaranya, UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, ⁠ Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan dan UCSI sebagai wakil tunggal IPT swasta

Hadiah besar SOM untuk penonton semalam turut disambut dengan sorakan gemuruh apabila kemunculan artis-artis jemputan ternama tanah air antaranya Aina Abdul, Khai Bahar serta Liza Hanim menyanyikan barisan lagu-lagu popular masing-masing.

Malam tadi juga SOM turut mempersembahkan lagu Musafir Rindu sebagai penghormatan kepada mantan konduktor serta pengasas OTM, Allahyarham Mohd Yazid Zakaria yang telah pulang ke rahmatullah pada 29 Oktober 2025.

Kolaborasi antara KPT dan IB ini berjaya menyatukan dunia pendidikan dan kesenian, membentuk keseimbangan antara ilmu dan jiwa bangsa, menjadi wadah untuk memupuk semangat kebangsaan serta memperkayakan nilai kemanusiaan dalam kalangan mahasiswa.

Turut sama menyaksikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) IB, Johan Cruyff@Mohd Johari Md Nordin. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 628
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 13 Disember 2025, 00:02:22.

logo-sirim