Kolej Komuniti Penampang Jadi Hab Pembelajaran Sepanjang Hayat Masyarakat Sabah
Usai di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar turut meluangkan masa membuat lawatan kerja ke Kolej Komuniti (KK) Penampang petang tadi.
Melalui lawatan itu, beliau berpeluang untuk beramah mesra dengan warga KK Penampang, di samping dapat memahami secara lebih dekat berkenaan pengoperasian dan tadbir urus KK Penampang.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa semenjak ditubuhkan pada tahun 2001, ekosistem Kolej Komuniti kebangsaan sentiasa kekal dengan fokus utamanya iaitu sebagai hab program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan pengembangan profesional untuk semua golongan masyarakat.
Malah, ia turut bertindak sebagai penghubung antara institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan industri serta komuniti setempat. Kursus-kursus PSH yang ditawarkan di KK Penampang serta 7 lagi KK Negeri Sabah berjaya meneruskan agenda ‘merakyatkan ilmu’ yang menjadi pemangkin kesejahteraan dalam menaik taraf ekonomi dan kualiti kehidupan masyarakat.
Beliau turut berharap agar warga KK Penampang akan terus kekal cemerlang sebagai peneraju unggul TVET di Sabah sekali gus berupaya membekalkan tenaga kerja berkemahiran seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Ts. Haji Muhammad Rumzi Mamat dan Pengarah KK Penampang, YBrs. Encik Jominin Goropos.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2520