Kolaborasi POLYCC-Industri Diseru Beranjak Daripada Kebolehpasaran Kepada Pemerkasaan Nilai Graduan

Kolaborasi POLYCC-Industri Diseru Beranjak Daripada Kebolehpasaran Kepada Pemerkasaan Nilai Graduan

8 Oktober 2026 | Sepang, Selangor

Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) perlu menganjak tumpuan daripada sekadar memastikan graduan mendapat pekerjaan kepada menghasilkan bakat yang mempunyai kompetensi bernilai tinggi, sepadan dengan keperluan industri serta mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim berkata anjakan itu memerlukan hubungan lebih rapat antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan industri, termasuk dalam mengenal pasti keperluan tenaga kerja, membentuk kompetensi, membawa teknologi serta menyediakan pengalaman sebenar kepada pelajar.

Beliau berkata hubungan institusi dan industri perlu bergerak daripada sekadar engagement kepada co-creation, seterusnya daripada kolaborasi kepada penciptaan nilai dengan industri turut terlibat dalam pembangunan bakat dan bukan hanya sebagai penerima graduan.

“Jangan bangunkan program dahulu, kemudian bertanya kepada industri sama ada graduan itu diperlukan, sebaliknya kenal pasti keperluan industri, kemudian bangunkan program dan bakat bersama-sama,” katanya.

YB Menteri Pendidikan Tinggi berkata pendekatan itu penting bagi menangani ketidakpadanan kemahiran atau skills mismatch dengan memastikan graduan bukan sahaja memperoleh pekerjaan, malah mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kompetensi, mempunyai laluan kerjaya yang baik serta menerima ganjaran setimpal dengan nilai kemahiran mereka.

Beliau berkata perubahan pesat dalam kecerdasan buatan, automasi, pendigitalan, peralihan tenaga dan ekonomi hijau turut menuntut POLYCC menyediakan bakat yang mampu mendepani perubahan pekerjaan dan industri masa hadapan, bukan hanya memenuhi keperluan pekerjaan semasa.

Menurutnya, dengan lebih 114,000 orang pelajar sepenuh masa dan menghasilkan 31,873 orang graduan pada 2025, POLYCC merupakan kumpulan bakat yang besar untuk negara, manakala penjenamaan TVET POLYCC sebagai Pendidikan Teknikal dan Profesional atau Professional and Technical Education (PTE) menjadi anjakan penting dalam mengangkat pendidikan teknikal sebagai laluan profesional dengan kompetensi, standard, pensijilan dan prospek kerjaya yang jelas.

Dalam pada itu, Industry Nexus (INDex) 2026: TVET Collaboration Hub yang bertemakan “Menyatu Kepakaran, Mencipta Masa Hadapan” memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, penjajaran program dengan keperluan industri, perkongsian kepakaran dan sumber serta penyelesaian kepada keperluan sebenar dunia pekerjaan.

Sejak diperkenalkan pada 2023, empat (4) TVET Collaboration Hub (TCH) di POLYCC telah menjalin lebih 70 kolaborasi melibatkan 116 rakan industri dan agensi dalam bidang teknologi marin, teknologi makanan, automotif serta penyamanan udara dan penyejukan, manakala INDex 2026 turut menghimpunkan 21 orang ahli Majlis Penasihat Industri (IAC) sesi 2026–2029 dan 37 orang CEO@POLYCC sesi 2026–2028 yang baharu dilantik.

Pada majlis sama, turut dilancarkan Reformasi POLYCC Menuju 2035 menerusi Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti 2026–2035, selari dengan usaha membangunkan bakat teknikal dan profesional bernilai tinggi serta mewujudkan pekerjaan berkualiti bagi menyokong pertumbuhan dan daya saing negara.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn. Bhd. merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Industri JPPKK, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio.

  • Last updated on .
  • Hits: 120
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 09 Oktober 2026, 11:24:21.

logo-sirim