Kerjasama KPT Dan KPKM Lahirkan Dokumen Blueprint Keterjaminan Makanan UPM

Kerjasama KPT Dan KPKM Lahirkan Dokumen Blueprint Keterjaminan Makanan UPM

Laporan-laporan terkini oleh pelbagai pertubuhan dunia telah menyatakan bahawa isu keterjaminan makanan yang menjadi keresahan penduduk dunia masa kini bakal menjadi sebuah ancaman kepada keselamatan sesebuah negara (national security) jika ia dibiarkan terus meruncing.

"Bayangkan dalam sesebuah negara itu mempunyai masalah kelaparan, mempunyai masalah kemarau berpanjangan, maka dia akan menjadi masalah national security yang sangat-sangat serius", tegas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Jelasnya lagi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui universiti-universitinya bersedia bekerjasama dengan kementerian terbabit iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membantu menyediakan pelan serta menyumbang idea dan penyelidikan supaya Malaysia tidak sesekali jatuh ke kancah tersebut.

Beliau yang berucap mengalu-alukan kehadiran Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu melancarkan dokumen Blueprint Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pagi tadi turut menyatakan bahawa KPT dan KPKM mempunyai hubungan simbiotik yang sangat penting dan bermakna.

Tambah beliau, "hari ini sekali lagi kita dapat melaksanakan satu bentuk kerjasama yang sangat strategik iaitu kerjasama kita dengan KPKM, di mana saya melihat dan saya menganggap KPKM ini antara kementerian yang sangat penting kepada kesejahteraan dan keselamatan negara".

Menurutnya, KPT selaku "the brains of the nation" akan tekal memberikan sumbangan kepakaran dan kearifan dunia akademianya agar dapat diterjemahkan dalam mendukung dan menjayakan apa jua agenda penting Kerajaan Perpaduan untuk rakyat dan negara.

Katanya lagi, KPT turut bercadang untuk menganjurkan sebuah lagi nexus bertujahkan keterjaminan makanan yang bukan sahaja melibatkan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) malah akan dianggotai bersama KPKM, kementerian lain serta pemegang-pemegang taruh yang berkepentingan.

"Pendekatan yang kita lakukan ialah pendekatan nexus iaitu sebuah bentuk kerjasama dengan semua pihak, sepertimana Malaysia AI Nexus (My AI Nexus) yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri bulan lalu, bila mana semua pihak yang bertanggungjawab yang ada kaitan dengan AI duduk bersama-sama menjayakan matlamat besar negara dalam bidang Artificial Intelligence.

Jadi kita telah laksanakan dalam bidang AI dan tidak mustahil dalam bidang keterjaminan makanan ini juga kita dapat laksanakan secara bersama-sama," jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, dokumen yang dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sempena Karnival Keterjaminan Makanan UPM tadi bakal dijadikan rujukan untuk semua pemegang taruh termasuklah pihak akademik, para penyelidik serta agensi-agensi kerajaan dalam menangani isu keterjaminan makanan kebangsaan.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Badrul Hisham Mohd; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Naib Canselor UPM, Prof. Dato' Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 409
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Julai 2024, 10:52:23.