Kemeriahan Pameran Pendidikan Tinggi Di Program Madani Rakyat 2024 (Zon Utara)
Program MADANI Rakyat 2024 (Zon Utara) telah melabuhkan tirainya pada petang ini setelah berlangsung selama tiga (3) hari mulai 3 hingga 5 Mei 2024 di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang dengan dihadiri para pengunjung dari seluruh negara, khususnya warga Negeri Pulau Pinang.
Majlis Penutupan program telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahli-ahli Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara. Lebih menarik, Majlis Penutupan pada kali ini diadakan bersekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024.
Dalam program ini juga, kemeriahan di reruai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut terasa dengan penawaran pelbagai insentif pendidikan tinggi yang telah ditawarkan kepada pengunjung yang hadir ke reruai KPT, antaranya adalah Konsultasi Pilihan Program Melalui Sistem UPUOnline; Konsultasi Pinjaman/ Bayaran Balik/ Simpan SSPN Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL); dan Tawaran Program Penajaan/ Biasiswa dan Bantuan Kewangan KPT.
Selain itu, Pameran POLYCC-TVET turut diadakan memfokuskan kepada aktiviti TVET yang terletak di Dewan A tapak pesta yang sama.
Turut hadir ke Majlis Penutupan dan ke Pameran Pendidikan Tinggi ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, YBhg. Dato’ Dr Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian; Setiausaha Bahagian Biasiswa, KPT, Puan Marhanum binti M. Haniff; dan Ketua Komunikasi Korporat, KPT, Encik Mohamad Hafizi bin Rosli.
Program MADANI Rakyat 2024 (Zon Utara) ini adalah platform untuk memberi peluang kepada masyarakat setempat memahami dan menilai dasar serta inisiatif baharu dilaksanakan Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1282