Kembara Bersasar KPT 2026: Laluan Atlet Muda SSMP ke Menara Gading Diperkasa

Kembara Bersasar KPT 2026: Laluan Atlet Muda SSMP ke Menara Gading Diperkasa

10 Oktober 2026 | Kuantan, Pahang

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif untuk semua, sekali gus memperkasa masa depan para atlet pelajar negara menerusi penganjuran Program Kembara Bersasar 2026 yang berlangsung di Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), hari ini.

Membawa tema "Arena Sukan, Destinasi Akademik", inisiatif ini digerakkan bagi mendekatkan perkhidmatan dan penawaran KPT secara terus kepada kumpulan sasar di sekolah-sekolah khusus.

Fokus utama penganjurannya adalah untuk memberi pendedahan menyeluruh mengenai laluan akademik serta ruang dan peluang menyambung pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Usaha ini dilihat amat penting dalam membantu atlet muda merancang keseimbangan yang harmoni antara kelangsungan karier sukan berprestasi tinggi dan pencapaian akademik mereka.

Bagi merealisasikan hasrat membangunkan bakat secara holistik tersebut, pelbagai pengisian interaktif telah disediakan. Para pelajar berpeluang mendapatkan maklumat tepat melalui pameran reruai pendidikan tinggi, taklimat hala tuju, serta sesi konsultasi kemasukan ke IPTA secara terus bersama wakil-wakil agensi yang berkaitan.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah.

Komitmen jitu dalam menjayakan agenda ini turut diterjemahkan melalui kehadiran barisan pengurusan tertinggi KPT dan universiti.

Turut bersama adalah Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), YBhg. Prof. Dr. Zainal Amin Ayub; dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Penyelidikan) UMPSA, YBhg. Prof. Ts. Dr. Kamal Yusoh.

  • Last updated on .
  • Hits: 36
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 12 Oktober 2026, 07:35:25.

logo-sirim