Jom Masuk U 2023 Medan Terbaik Pelajar Dapatkan Maklumat Ke IPT

Jom Masuk U 2023 Medan Terbaik Pelajar Dapatkan Maklumat Ke IPT

Siri jelajah pendidikan tinggi negara ‘JOM MASUK U 2023’ (JMU 2023) telah dilancarkan dengan rasminya pagi tadi oleh YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), bertempat di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.

YBhg. Dato' Seri KSU KPT dalam ucapannya menyatakan JMU 2023 merupakan medan terbaik yang menjadi titik temu antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta dengan para pelajar sekolah, ibu bapa dan pendidik bagi mendapatkan panduan dan konsultasi ke menara gading.

Edisi kali ini terus diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya reruai pameran memaparkan IPT awam dan swasta; konsultasi bagi permohonan UPUOnline; semakan akreditasi program pengajian dan IPT; khidmat nasihat biasiswa dan pembiayaan pendidikan tinggi.

Turut diadakan adalah sesi kaunseling kerjaya; perkongsian alumni dan IPT; persembahan kesenian; pameran produk-produk inovasi; dan kendera saji (foodtruck).

Perasmian pagi tadi telah diadakan bersekali dengan penganjuran bagi Zon Selatan di Johor Bahru dan Zon Sarawak di Bintulu yang berlangsung selama dua (2) hari mulai 20 hingga 21 Mei 2023

Selepas ini, jelajah akan diteruskan ke empat (4) lokasi lain sehingga 5 Jun 2023 iaitu Kedah, Sabah, Terengganu dan akan berakhir di Kuala Lumpur dengan Majlis Penutupan yang dijangka akan disempunakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama ke majlis pagi tadi adalah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Prof. Dr. Norzaini Azman, dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBhg. Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2825
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 21 Mei 2024, 15:10:04.