JCESTC 2023 Perkukuh Hubungan Bilateral Malaysia-Rusia
Hubungan erat sedia ada antara Malaysia dan Rusia semakin kukuh dengan pemeteraian lapan (8 buah Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan sektor-sektor penting yang telah ditandatangani sempena penganjuran Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan kali ke-2 (JCESTC 2023) yang telah diadakan di ibu negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin bersama rakan sejawatnya iaitu Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, TYT Valery Falkov telah mempengerusikan mesyuarat tersebut di hadapan wakil dari negara masing-masing siang tadi
Melalui mesyuarat tersebut, Kuala Lumpur-Moscow telah turut membincangkan beberapa perkara yang bakal memberi manfaat kepada negara masing-masing.
Antara perkara yang telah diberi penekanan dalam perbincangan tersebut adalah kolaborasi pendidikan tinggi; kerjasama kewangan dan perbankan; serta keterjaminan makanan dan produk agrikultur.
Fokus diberikan kepada sektor pendidikan tinggi dengan kedua-dua buah negara memberikan komitmen untuk meningkatkan bilangan pelajar di Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) masing-masing; merintis jalinan kerjasama organisasi yang terlibat dalam bidang saintifik dan pendidikan; serta memperhebat promosi Bahasa Melayu dan Rusia dalam kalangan mahasiswa serta IPT masing-masing.
Majlis turut menyaksikan pelancaran 'mirror lab' antara Azman Hashim International Business School (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan National Research University Higher School of Economics (HSE) St Petersburg, Rusia.
Selain itu, Malaysia-Rusia bersetuju untuk memperkemas semua dokumen dan perjanjian bersifat bilateral yang telah termeterai selama ini melibatkan kerjasama antara jabatan; pengiktirafan program dan kursus pengajian dari IPT Rusia; memudahkan urusan visa bagi warga Rusia yang ingin meneruskan pengajian di sini termasuk hal-hal berkaitan pengangkutan udara antara Malaysia dan Rusia.
Kedua-dua negara optimis dengan hasil perbincangan yang tercapai melalui JCESTC ini dan berharap semua usaha yang dilakukan nanti bakal membawa lebih kemakmuran kepada semua.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2134