Jasa, Pengorbanan Dan Keberanian Pejuang Tanah Air Dirai Di Hari Pahlawan

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan 2025 yang berlangsung di Dataran Pahlawan, Putrajaya pagi tadi.
Istiadat anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkonsepkan perbarisan statik, melibatkan empat detasemen terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), serta Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).
Keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda berdua telah disambut oleh barisan kepimpinan tertinggi negara iaitu Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof; serta Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
Sambutan Hari Pahlawan yang mula diperkenalkan sejak 31 Julai 1960 merupakan manifestasi penghargaan dan pengiktirafan negara terhadap jasa, pengorbanan serta keberanian para pejuang tanah air khususnya anggota PDRM dan ATM yang telah gugur mahupun masih hidup dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.
Istiadat ini turut mencerminkan semangat taat setia, keberanian serta kemegahan pasukan keselamatan terhadap Seri Paduka Baginda dan tanah air tercinta.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 275