Iltizam KPT Lestarikan Budaya Keilmuan Dengan Bahasa Melayu

Iltizam KPT Lestarikan Budaya Keilmuan Dengan Bahasa Melayu

YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT telah menyempurnakan upacara penyampaian Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu KPT 2022 anjuran Bahagian Perancangan Strategik KPT di Dewan Za'ba petang tadi.

Majlis yang diadakan bersempena kemuncak Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan KPT tersebut telah dianjurkan bagi mengiktiraf peranan para akademia IPT tanpa mengira bidang kepakaran yang senantiasa berusaha mengangkat martabat bahasa Melayu dalam dunia pendidikan tinggi negara.

Untuk tahun 2022, tema "Bahasa Melayu Melestarikan Budaya Keilmuan" telah dipilih dengan Prof. Dr. Mohammad Nazri Mohd Jaafar (Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM) telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu hasil sumbangan beliau dalam memartabatkannya dalam bidang Aeronautik terutamanya melibatkan penyelidikan, penerbitan dan pengajaran.

Selain itu juga, YBhg. Dato' Seri KSU turut menyampaikan anugerah kepada Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah (kategori Anugerah Tokoh Harapan Akademik BM - Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM) dan Ts. Dr. Izwah Ismail (kategori Anugerah Tokoh BM Sektor Teknikal - Politeknik Ungko Omar).

Dalam ucapannya, YBhg. Dato' Seri KSU merakamkan setinggi tahniah dan berharap anugerah serta sambutan ini diteruskan untuk tahun-tahun mendatang supaya semangat dan usaha memartabatkan bahasa Melayu ini dapat disebarluas kepada semua warga Kementerian dan para akademia seluruh negara.

Sebelum itu, beliau turut meluangkan masa mengunjungi pameran yang memaparkan sejarah, kebudayaan dan kesenian alam Melayu anjuran KPT bersama ATMA UKM, Muzium Warisan Melayu UKM, Muzium Etnografi Melayu UM serta Pusat Kebudayaan USIM yang telah berkampung di lobi Menara KPT sejak 3 hari lalu.

Hadir sama YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar) KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohd. Zabri Yusof, TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, dan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 4255
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 24 Julai 2024, 03:08:48.

logo-sirim