iFUTURE 2026: Pemimpin Masa Depan Perlu Berani Membuat Keputusan, Utamakan Pembangunan Bakat Tempatan dan Pergiat Inovasi

13 Oktober 2026 | Kuala Lumpur
Keberanian membuat keputusan demi kepentingan jangka panjang negara, pembangunan bakat tempatan dan penerapan teknologi yang bertanggungjawab menjadi antara asas penting dalam membentuk kepimpinan masa depan Malaysia yang berdaya saing.
Bekas Menteri, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, negara memerlukan perancangan peralihan kepimpinan yang lebih teratur dan pantas bagi membuka ruang kepada generasi muda untuk memikul tanggungjawab dalam pentadbiran Kerajaan, institusi akademik dan sektor perniagaan.
Beliau berkata, pemimpin perlu berani membuat keputusan yang sukar meskipun tidak popular demi kepentingan generasi akan datang, selain mengambil kira perubahan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi, perubahan iklim, penuaan penduduk dan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).
Khairy turut menegaskan bahawa Malaysia perlu memastikan pelaburan teknologi menghasilkan nilai ekonomi tempatan, termasuk melalui pembangunan aplikasi AI yang bermanfaat kepada masyarakat, dan bukannya sekadar menyediakan infrastruktur untuk kegunaan pihak luar.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan ekonomi dan pelaburan teknologi perlu memberikan manfaat langsung kepada rakyat melalui penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Selangor menetapkan dasar yang menghendaki sekurang-kurangnya 30 peratus rantaian bekalan, komponen dan perkhidmatan bagi pusat data yang akan dibangunkan di Negeri Selangor dalam tempoh tiga (3) hingga empat (4) tahun akan datang diperoleh daripada syarikat tempatan Malaysia, di samping melaksanakan program Perintis AI Selangor bersama Google untuk membangunkan penyelesaian kecerdasan buatan bagi 10 jabatan Kerajaan Negeri.
Dalam aspek pembangunan bakat, beliau berkata, kerjasama dengan industri perlu memastikan kemahiran graduan memenuhi keperluan sektor berteknologi tinggi, manakala pelaksanaan dasar dan pembangunan teknologi perlu mengambil kira etika, kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam sekitar.
Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi pula berkata, kerjasama Kerajaan Negeri Johor dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bertujuan memastikan kemahiran graduan menepati kehendak industri, khususnya dalam sektor yang menerima pelaburan bernilai tinggi.
Beliau berkata, jurang kemahiran, termasuk dalam aspek komunikasi dan keupayaan menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan, perlu ditangani melalui latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta membantu Negeri Johor mengekalkan bakat tempatan.
Mengulas pembangunan kepimpinan mahasiswa, beliau berkata, golongan muda perlu diberikan ruang untuk terlibat dalam proses membuat keputusan dan pelaksanaan inisiatif pembangunan, selain menekankan bahawa integriti serta pelaksanaan undang-undang secara adil merupakan asas penting dalam kepimpinan.
Ketiga-tiga ahli panel turut membincangkan kepentingan keputusan berasaskan data, pengetahuan dan hujah yang kukuh, di samping keperluan menangani rasuah secara terbuka serta menjadikan pendidikan tinggi sebagai sumber diplomasi antarabangsa Malaysia melalui hubungan berterusan dengan pelajar antarabangsa.
Perbincangan bertajuk 'Menuju Negara Masa Hadapan: Kepimpinan, Inovasi dan Transformasi' (Towards a Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation) itu merupakan siri khas hari ketiga Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, yang memberi ruang kepada mahasiswa tempatan dan antarabangsa mengemukakan soalan mengenai pembangunan negara, peluang pekerjaan, teknologi, integriti dan kepimpinan.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; serta Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim.
- Last updated on .
- Hits: 41
