HCTM Terima 2 Peralatan Perubatan Baharu Bernilai RM9.2 Juta

HCTM Terima 2 Peralatan Perubatan Baharu Bernilai RM9.2 Juta

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima dua (2) peralatan perubatan terbaharu iaitu alat Angiografi Biplane di Jabatan Radiologi dan alat Fluroskopi di Pusat Perkhidmatan Endoskopi bernilai RM9.2 juta melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Majlis pelancarannya di sini pagi tadi telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff.

Dalam teks ucapan beliau yang telah dibacakan oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri, peruntukan bagi 2 peralatan tersebut adalah sebahagian daripada jumlah RM53 juta keseluruhan yang diterima UKM melalui RMKe-12.

Peruntukan tersebut bertujuan untuk menggantikan peralatan usang di pelbagai tempat seperti Perkhidmatan Radiologi, Perkhidmatan Dewan Bedah, Perkhidmatan Endoskopi dan Perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi.

"Saya yakin, hasil peruntukan yang besar ini akan membolehkan penggunaan peralatan perubatan berteknologi terkini dan canggih sekali gus meningkatkan tahap dan kualiti perkhidmatan rawatan di hospital ini," ujar beliau.

Jelas beliau lagi, usaha penaiktarafan peralatan, fasiliti dan kemudahan usang di HCTM yang telah beroperasi lebih 26 tahun ini adalah perlu dalam memastikan bukan sahaja para pelajar mendapat pendidikan yang terbaik, malah membuktikan komitmen kementerian dalam menawarkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang berkualiti kepada masyarakat.

Ditambah dengan peningkatan peruntukan kepada sektor kesihatan dari RM36.3 bilion kepada RM41.2 bilion pada Belanjawan 2024 lalu, komitmen kerajaan dalam sektor tersebut perlu menjadi fokus semua pihak, termasuklah KPT.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohamad Abd. Razak; Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman; serta Pengarah HCTM, YBhg. Prof. Dato' Dr. Razman Jarmin.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 763
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 24 Februari 2024, 09:25:25.