Hari TVET Negara 2025: PM Gesa Perubahan Paradigma Pendidikan Negara, Luncur Faix UTeM, Umum Dana Tambahan RM50 Juta MTVET

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kepentingan perubahan paradigma pendidikan negara dengan memfokuskan kepada TVET sebagai pemacu utama pembangunan tenaga kerja mahir masa hadapan.
Berucap merasmikan Hari TVET Negara 2025 di Melaka International Trade Centre (MITC), beliau menyatakan bahawa Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada sistem pendidikan lama dalam menghadapi keperluan industri masa kini yang semakin kompleks.
Dalam majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut melancarkan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai sebahagian inisiatif TVET Termaju (Advanced TVET) untuk melahirkan pakar dalam bidang AI dan keselamatan siber.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Melaka, YAB Dato’ Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
YAB Perdana Menteri memuji kejayaan Majlis TVET Negara (MTVET) yang berjaya meningkatkan pendaftaran pelajar kepada 140,000 orang tahun ini dan membina keyakinan baharu dalam kalangan ibu bapa serta industri terhadap masa depan TVET.
Menurut beliau, pelaburan berskala besar seperti Infineon dan AMD menunjukkan keperluan mendesak kepada tenaga kerja tempatan yang memiliki kemahiran khusus dalam bidang teknologi tinggi.
Bagi memperkukuh ekosistem TVET di peringkat negeri dan nasional, beliau mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta untuk Melaka dan RM40 juta kepada Majlis TVET Negara bagi memperluas inisiatif latihan dan keusahawanan.
Sambutan kali ini turut menyaksikan lebih 60 majikan menawarkan 5,000 peluang pekerjaan, serta penganjuran Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN ke-4 (ATC 4th RPD) yang memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang TVET.
Dalam ucapannya juga, beliau turut akan meneliti cadangan menaiktaraf MTVET kepada Suruhanjaya TVET Negara sebagai langkah memperkemas dasar dan penyelarasan merentas pelbagai kementerian dan agensi.
“TVET bukan sekadar latihan teknikal, ia adalah laluan untuk membina negara maju berteraskan ilmu, adab dan perpaduan,” ujar beliau mengakhiri ucapannya.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 151