Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan: Perkasa Kerjasama Capai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Sektor Pendidikan Tinggi

Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan: Perkasa Kerjasama Capai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Sektor Pendidikan Tinggi

Buat julung-julung kalinya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Inovasi Republik Uzbekistan hari ini telah menganjurkan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan bertemakan "Uzbekistan-Malaysia: Peluang dan Inisiatif Mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam Pendidikan Tinggi".

Dihoskan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), forum ini merupakan satu pencapaian penting dalam hubungan dua hala antara Kuala Lumpur-Tashkent dalam memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, terutamanya dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari ke-4 (SDG 4) iaitu memastikan pendidikan berkualiti, inklusif, dan berkesamaan untuk semua.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Inovasi Republik Uzbekistan, TYT Konratbay Sharipov; para Naib Canselor universiti tempatan dan swasta serta 28 orang rektor dari universiti terkemuka Uzbekistan.

Antara pencapaian utama forum ini adalah pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), Surat Niat (LoI) dan Surat Persetujuan (LoA) antara Institusi Pendidikan Tinggi dari kedua-dua negara.

Selain itu, pemeteraian kesemua dokumen tersebut turut mencerminkan komitmen kukuh kedua-dua negara dalam memperluaskan kerjasama akademik, penyelidikan, pertukaran pelajar dan staf akademik, serta inisiatif bersama dalam pembangunan kapasiti.

Forum ini turut menyaksikan penubuhan Konsortium Pendidikan Tinggi Antara Malaysia-Uzbekistan (MUHEC) yang diterajui oleh UPSI dan bakal menjadi platform strategik untuk menggalakkan mobiliti akademik, projek penyelidikan bersama, serta perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan tinggi.

Usaha ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang untuk pelajar, ahli akademik, dan penyelidik dari kedua-dua negara, sekaligus menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi di peringkat global.

Pada majlis tadi juga, TYT Konratbay Sharipov telah membuat kunjungan hormat ke atas YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bagi membincangkan lebih lanjut berkenaan peluang kerjasama lain yang boleh diteroka antara kedua-dua buah negara. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 298
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 20 Mac 2025, 07:42:13.

logo-sirim